SEBAGAI sebahagian usaha memperkukuh kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, tiga jawatankuasa bakal ditubuhkan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri.
Tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
"Jawatankuasa ditetapkan ini ada tiga, satu Jawatankuasa Strategi, termasuk komunikasi kerana kadang-kadang kita berdepan dengan kenyataan fitnah melampau contoh isu pembakaran al-Quran.
"Beberapa orang kononnya tokoh-tokoh agama menggunakan kenyataan dalam ucapan mereka seolah-olah kita belum buat apa-apa, padahal pada masa itu kita dah keluarkan kenyataan keras mengecam... Kementerian Luar juga telah panggil Duta Sweden dan kita keluarkan (kenyataan) pengedaran satu juta naskah Al-Quran," jelasnya.
Sementara itu jelas Anwar, Jawatankuasan Pilihan Raya pula menumpukan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Ia bagi memastikan isu agihan kerusi dapat diselesaikan dan kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai tapak kukuh menghadapi PRN.
"Suatu hal disepakati sangat positif bagi saya, kesepakatan dan komitmen semua parti termasuk Sabah dan Sarawak membantu sebagai satu pasukan," katanya.
Bagi Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik pula Anwar menjelaskan ia akan menumpukan mengenai manifesto kerajaan meliputi pelbagai isu termasuk kos sara hidup rakyat.
"Jawatankuasa berikut Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik mengambil kira pandangan manifesto... melibatkan kos sara hidup (dan) kerjasama antara semua kaum dan negeri," jelasnya lagi.
Anwar turut memberitahu bahawa sekretariat Kerajaan Perpaduan akan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat.
Manakala ketiga-tiga Jawankuasa yang akan ditubuhkan itu nanti akan dipengerusikan olehnya dengan ketua-ketua parti sebagai timbalan pengerusi.
![]() |
Kerjasama antara parti makin diperkukuh |
Beliau turut memberitahu, Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan akan membentuk struktur pimpinan dan mereka akan bersidang setiap bulan.