Rundingan kerusi antara parti k'jaan akan diselesaikan segera

 


ISU pilihan raya merupakan perkara yang dibincangkan pada mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn pada Selasa.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat bersetuju supaya jawatankuasa berkaitan pilihan raya ditubuhkan untuk merencana strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) terutamanya dalam pembahagian kerusi.

“Pengarah-pengarah pilihan raya akan bersidang dalam tempoh seminggu ini dan menetapkan penyelaras. Ketuanya adalah pengarah pilihan raya parti-parti. Jawatankuasa Pilihan Raya (juga) akan segera bincang (pembahagian kerusi),” katanya ringkas.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sementara itu turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya mempunyai peluang besar memenangi banyak kerusi pada PRN yang dijangka diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Keyakinan itu berdasarkan dapatan kajian menunjukkan Kerajaan Perpaduan dengan kekuatan beberapa parti telah mendapat sokongan lebih dua pertiga pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kerusi pula, memang setakat ini, mencatat 148 kerusi, juga dua pertiga. Kalau lihat dari segi dukungan, kita satu-satunya gabungan yang mewakili semua kaum, semua daerah, semua suku kaum di negara kita ini.

“Ini memberikan kelebihan kepada kita. Kenyataan saya lakukan ini adalah untuk kuatkan tekad kita bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan mantap. Ini telah kita sepakati malam ini,” ujarnya.

Anwar kembali ke PWTC lepas 25 tahun
Terdahulu, Anwar tiba di Menara Dato Onn kira-kira jam 7.40 malam bersama beberapa pemimpin kanan HARAPAN termasuk Presiden Amanah, Datuk Seri Mohammad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke.

Penampilan Anwar di bangunan Umno itu merupakan yang pertama kali dalam tempoh 25 tahun selepas dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 1998.






 

Post a Comment

0 Comments