PROSEDUR bagi apa-apa projek prasarana rakyat akan dipermudahkan supaya pelaksanaannya dapat disegerakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, bagi tujuan itu kerajaan menyasarkan untuk membaiki 400 klinik daif yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan dan 380 sekolah daif dikenal pasti Kementerian Pendidikan.
Sebanyak RM1.2 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan itu dan beliau berharap isu klinik dan sekolah daif tidak akan lagi berterusan.
“Kita akan memberikan beberapa kelonggaran tentang had sebut harga perolehan kerja pembaikan walaupun ada proses tender, dipercepatkan supaya kita boleh jangka siap sekolah-sekolah ini diduduki anak-anak kita sebelum akhir tahun,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan Persekutuan serta pada masa sama bagi melaksanakan penyelenggaraan kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.
“RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar,” tambahnya.
Menyentuh mengenai isu keselamatan pengguna jalan raya terutama yang berpunca dari kerosakan jalan raya, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu memaklumkan bahawa akan memberikan kuasa pegawai daerah dan khidmat jurutera daerah untuk memperbaiki kerosakan itu pada kadar segera tanpa mengikuti pandangan jabatan lain.
![]() |
Langkah supaya projek boleh cepat dimulakan |
Manakala pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (MARRIS) untuk kesemua kerajaan negeri turut akan ditambah dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion.
0 Comments