PROGRAM jualan murah anjuran Kerajaan Negeri Selangor wajar diteruskan, kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar .
Fakhrulrazi yang merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meru berkata, inisiatif Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menawarkan barang keperluan asas seperti ayam, minyak, telur, daging, ikan dan beras dibawah harga pasaran itu wajar diteruskan sepanjang bulan Ramadhan yang akan disambut tidak lama lagi.
“Saya berharap sempena Ramadan, Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan program jualan murah kerana kebiasaan belanja bulan Ramadhan akan lebih berbanding bulan biasa.
“Jika dapat diteruskan dan dibesarkan program ini lebih ramai penduduk dapat manfaat. Kita juga berharap jumlah barangan di bulan puasa ditambah berbanding hari biasa,” katanya ketika hadir pada program JER di Meru pada Rabu.
Untuk rekod, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari telah melancarkan inisiatif jualan murah itu pada 31 Ogos 2022 dengan matlamat meringankan beban hidup rakyat yang tinggal di Selangor ekoran kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Ia menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).
Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada program peringkat DUN Meru semalam, Fakhrulrazi turut menampung perbelanjaan 20 individu kurang berkemampuan untuk membeli barangan asas di program tersebut.
Pihaknya memperuntuk wang tunai RM50 untuk setiap seorang dengan harapan sumbangan itu dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk membeli keperluan harian.
Manfaatkan ramai, Program JER wajar diteruskan |
“Kita beri duit dan serahkan sepenuhnya kepada mereka nak beli apa mengikut keperluan sama ada ayam, minyak, telur, daging, ikan dan beras,” katanya.
0 Comments