PM ucap selamat tahun baharu Cina, ajak contohi semangat 'Miki'


PERDANA MENTERI
, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mesej agar semua rakyat Malaysia terus cekal menghadap pelbagai cabaran dan segera bangkit membangunkan negara dengan semangat perpaduan.

Mesej itu disampaikan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu melalui muat naik sebuah video yang memaparkan kisah seekor arnab bernama Miki.

Video klip berdurasi 1.14 minit bersempena sambutan Tahun Baharu Cina memaparkan Miki yang dianggap gagah meneruskan perjalanan mengejar impiannya walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

"Lelah, penat memungkinkan untuk menyerah, adalah setelah menempuh kepayahan dan kesusahan ini, tewas pengakhirannya?

"Namun selagi ada harapan, pasti sinar akan hadir

"Begitu juga dengan kita yang telah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan selama ini. Dalam mencari sinar harapan, jangan pernah mengalah.

"Ayuh kita bangkit.. kita bangkit dengan perpaduan.," kata suara latar dalam video itu.

Perdana Menteri dirakam memegang arnab itu sambil berkata "Sebagai satu negara merdeka, sudah matang dan dewasa, wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia tercinta."

Masyarakat Tionghua akan menyambut Tahun Baharu Cina pada Ahad dengan Arnab mewakili Zodiak kalender Cina.  

Melalui rakaman video itu, Perdana Menteri mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina.

Beliau turut menyifatkan perayaan besar di negara ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyemai semangat perpaduan dan saling mengenali.

"Elemen kerukunan dan toleransi antara kaum adalah pengikat yang nyata dalam membawa negara ini ke depan.

Perdana menteri ajak rakyat kekal perpaduan
“Sebagai satu negara merdeka, dan sudah matang serta dewasa. Wajar kita perkasakan semua rakyat, semua kaum di negara Malaysia tercinta.

“Untuk kesempatan ini, marilah kita sama-sama merayakan hari kebesaran masyarakat cina, Gong Xi Fa Cai, Xinnian Kuaile, Xin Nian Hao,” ucap Anwar sambil memegang Miki.

Post a Comment

0 Comments