Anwar dan konsep masyarakat madani


PERDANA MENTERI
, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sedang menggerakkan Malaysia ke arah sebuah negara maju bukan sahaja dari sudut pembangunan dan ekonomi, malah dari segi peradaban bangsanya.

Ia dapat dilihat apabila beberapa program yang diatur kerajaan mula menggunakan slogan Malaysia Madani termasuk pada majlis dialog Belanjawan 2023 pada Selasa lalu.

Sebagai ringkasan, Madani dalam akar bahasa Arab bermaksud kota atau peradaban dan dikaitkan dengan kota suci umat Islam Madinah. Dewan Bahasa dan Pustaka pula memberi makna madani sebagai "maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan."

Istilah "masyarakat madani" selalu diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai "civil society.", istilah yang lebih mudah difahami ramai.

Namun apa pun makna dalam setiap bahasa, ia lebih merujuk kepada usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan.

Madani dan Anwar

Sememangnya istilah madani bukanlah satu perkara asing untuk Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu. Beliau sebenarnya telah sering bercakap mengenai idea masyarakat madani seawal tahun 1970-an.
 
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Anuar Tahir dalam pendedahannya dalam laporan Malaysiakini pada Rabu berkata, pada tahun 70-an, ketika Anwar memimpin pelajar di Universiti Malaya, ketika itulah beliau sering bercakap mengenai isu kemiskinan, golongan terpinggir, kebejatan.

Dengan semua isu itu beliau menekankan peri pentingnya untuk sebuah kerajaan mewujudkan masyarakat yang saksama - perkara yang dapat dikaitkan dengan idea masyarakat madani yang mahu dibawakannya.

"Namun gagasan itu tidak mendapat sambutan daripada golongan cendekiawan di Malaysia," kata Anuar yang bekas Timbalan Menteri Kerja Raya dalam laporan itu.

Walaupun idea yang mahu dibawa itu tidak mendapat sambutan di Malaysia, Anwar jelasnya telah mensyarahkan konsep itu di Festival Istiqlal di Jakarta pada 26 Sept 1996.

Dan ketika itulah idea yang mahu dibawakan Anwar itu mendapat reaksi menggalakkan dan menarik perhatian orang ramai.

"Anwar antara lain menyatakan: "Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat."

Melalui konsep itu juga, beliau turut menekankan bahawa sistem sosial dan ekonomi yang tidak telus serta dicemari rasuah berleluasan bukan sekadar akan menjauhkan pelabur bahkan lebih teruk lagi, menindas majoriti rakyat.

Idea 50 tahun akhirnya kini diterjemah
Kepercayaan Anwar bahawa konsep masyarakat madani itu telah diperincikan Anwar ketika beliau menulis dan menyiapkan buku The Asian Renaissance yang diterbitkan pada 1996.

Hal itu diulangi lagi dalam buku terbarunya, Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang diluncurkan di Kuala Lumpur pada 3 November lalu.




Post a Comment

0 Comments