AMK kutuk Insiden gadis bawah umur dirogol anggota polis

  


ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK)  mengutus sekeras-kerasnya insiden seorang gadis bawah umur menjadi mangsa rogol seorang anggota polis seperti dilapor media baru-baru ini.

Timbalan Ketuanya, Kamal Munim melalui satu kenyataan berkata, kejadian seumpama itu telah mencalar kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan tersebut.

“Insiden ini telah mencalarkan imej PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mengakibatkan terhakisnya kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasa keselamatan yang seharusnya menjadi tempat paling selamat buat mereka yang menjadi mangsa jenayah yang ditindas dan dianiaya.

“Meskipun kita sedia maklum bahawa siasatan sedang dijalankan di mana pegawai penyiasat yang disyaki telah ditahan, cabaran besar bagi pihak PDRM adalah untuk memastikan kepercayaan awam terhadap institusi PDRM dapat dikembalikan,” kata kenyataan pada Selasa.

Susulan isu tersebut, Kamal Munim menuntut agar PDRM memberi jaminan bahawa kejadian serupa tidak akan berulang selain mengambil tindakan tegas dikenakan terhadap kepada anggota yang melanggar undang-undang.

AMK juga menuntut penelitian semula tatacara pengendalian proses siasatan agar lebih telus dan selamat.
 
"Antaranya dengan mempertimbangkan keperluan untuk menggunakan kamera video semasa proses siasatan dijalankan bagi tujuan pengawasan atau mewajibkan proses mengambil keterangan bagi kes seumpama ini dilaksanakan dalam ruang atau bilik yang dilengkapi kamera litar tertutup." jelasnya.

Sabtu lalu, seorang remaja perempuan berumur 16 tahun membuat laporan selepas mendakwa menjadi mangsa rogol seorang pegawai berpangkat inspektor ketika berada sebuah balai polis di Alor Setar.

Mangsa sebelumnya datang ke balai polis berkenaan untuk melaporkan dakwaan kes rogol membabitkan bapa tirinya.

Pastikan kejadian sama tak lagi berulang
Sementara itu Kamil Munim dalam kenyataan sama menegaskan komitmen semua pihak dalam melaksana reformasi institusi adalah sangat ditagih.

Ia jelasnya bagi memastikan kepercayaan awam kepada integriti badan penguatkuasaan dapat diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan undang-undang dan keamanan dapat dicapai.

Post a Comment

0 Comments