Ahli Parlimen cadangan KWSP beri agihan dividen bertingkat

 


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran melaksanakan sistem agihan dividen bertingkat sebagai usaha meningkatkan simpanan pencarumnya.

Cadangan itu adalah antara tiga perkara dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung susulan gesaan pihak tertentu baru-baru ini yang mahu kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan mereka.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN berkata, melalui pelaksanaan dividen bertingkat itu tiga tingkat simpanan yang mana dividen paling tinggi, diberikan mengikut caruman simpanan.

"Dividen diberikan untuk simpanan RM50,000 pertama, simpanan RM50,000 hingga RM240,000 (sasaran simpanan asas) dan simpanan RM240,000 ke atas.

"Jika pencarum mempunyai simpanan lebih RM1 juta, mereka masih boleh mendapat dividen yang tinggi untuk RM50,000 simpanannya," katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa 97 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal sebanyak RM600,000 untuk bersara dengan selesa di bandar utama.

Situasi itu menurut Chean Chung adalah keadaan yang amat mengusarkan.

"Sebanyak 6.67 juta ahli KWSP ataupun 51.5% hanya mempunyai simpanan di bawah RM10,000. Nilai ini adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan sasaran RM240,000 untuk simpanan asas.

"Pengeluaran berterusan adalah umpama membunuh 'angsa bertelur emas' yang bukan saja melepaskan peluang menambahkan aset pencarum, malah memerlukan antara tiga hingga lima tahun untuk paras simpanan kembali ke paras asal," tambahnya.

Selain cadangan pelaksanaan dividen bertingkat, beliau turut mencadang KWSP meningkatkan pelaburan luar supaya organisasi itu lebih produktif dan profesional.

Katanya, pada 2021, KWSP mencapai pulangan 8.64 peratus untuk pelaburan antarabangsa, manakala pulangan pelaburan tempatan hanya sekadar 5.02 peratus.

Beliau juga mencadangkan supaya KWSP menghadkan pengeluaran selepas mencapai umur 55 tahun mengikut jumlah caruman serta mengambil kira keperluan persaraan.

Tumpukan usaha cukupkan caruman
"Adalah lebih baik semua pihak menumpukan cara untuk mencukupkan caruman berbanding berdebat sama ada pengeluaran tambahan harus dibenarkan.
"KWSP sebagai pelaksana wajar tumpukan tenaga mereka untuk meningkatkan pulangan dan memberikan kesedaran serta kecelikan dalam pengurusan persaraan rakyat kita," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments