S'gor rancang perluas program INSAN untuk pelajar

 


KERAJAAN Negeri Selangor pimpinan KEADILAN berhasrat memberi manfaat kepada murid sekolah di negeri itu agar dilindungi di bawah program Skim Insurans Am Selangor (INSAN).

Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, pihak kerajaan negeri mahu mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi membolehkan golongan itu didaftarkan secara automatik di bawah program INSAN.

“Kita nak bincang dengan JPN Selangor dalam masa terdekat supaya anak-anak sekolah dilindungi dan jika berhasil akan mendaftarkan jumlah seramai sejuta murid darjah satu hingga enam.

“Buat masa ini, kita tiada ‘update’ terkini tetapi setakat tahun lalu, seramai 3.5 juta telah didaftar di bawah skim ini,” katanya.

Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN ditemui media selepas menyampaikan bantuan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan Rakyat Batu Caves pada Ahad.

Untuk rekod, program INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang ditawarkan kepada individu berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan untuk mendaftar Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dilonggar kepada pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor.


Kebajikan rakyat jadi keutamaan
Difahamkan setakat ini seramai enam juta rakyat Selangor dilindungi di bawah program berkenaan.


Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net

Post a Comment

0 Comments