PM arah cetak sejuta al-Quran , jawab kebiadapan Rasmus Paludan

 



PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan mengejutkan, namun paling memberikan faedah kepada umat Islam dalam menangani provokasi oleh ahli politik pelampau Sweden-Denmark, Rasmus Paludan

Ketika ditemui selepas hadir pada program Quranic Arts Festival di Kompleks Nasyrul Quran, di Putrajaya petang Sabtu, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, Malaysia akan mencetak sejuta naskah al-Quran dan akan diedarkan ke seluruh dunia.
 
"Saya setuju cara paling berfaedah menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini ialah kita bertekad insha-Allah dalam masa singkat cetak dan mengedar satu juta al-Quran ke seluruh dunia.

“Itu jawapan terbaik bagi menghadapi kegilaan orang ini. Insya-Allah, al-Quran ini bukan sahaja diedar untuk bacaan tetapi dijadikan bahan untuk dihayati," katanya.

Bagi tujuan itu jelas Anwar, beliau telah mengarahkan proses cetakan dilaksanakan Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14 dengan kos percetakan itu akan ditanggung kerajaan dan sumbangan wakaf oleh orang awam.

"Kementerian Kewangan (MOF) juga menyerahkan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran bagi melancarkan operasi pencetakan itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan juga akan menghubungi negara-negara Islam lain bagi menyelaras pengedaran al-Quran itu nanti.

Minggu lalu, Paludan yang merupakan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Stram Kurs, bertindak membakar al-Quran menggunakan pemetik api ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Tindakannya itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Pada 22 Januari lalu, Perdana Menteri mewakili kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia oleh Paludan.

Dalam satu kenyataan beliau menggesa tindakan tegas terhadap Paludan selain mahu Sweden memastikan langkah drastik diambil dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.


PM ambil langkah tepat lawan provokasi Paludan
Kerajaan juga dilapor sudah memanggil duta Sweden di Malaysia bagi menyampaikan suara bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan biadab itu.


Sementara itu Anwar menegaskan, selain cetakan sejuta naskah al-Quran itu, beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman Quran dengan mesej dan risalah yang jelas turut akan diadakan.

 

Post a Comment

0 Comments