8 MoU akan dimeterai dalam lawatan rasmi PM ke Indonesia


PERDANA MENTERI
, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta, Indonesia bagi memulakan lawatan rasmi ke negara jiran itu.

Beliau dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada 1.57 petang waktu tempatan dengan menaiki pesawat khas dan disambut Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, November lalu.

Dalam lawatan selama dua hari itu, Anwar bakal menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Indonesia.

Lapan memorandum persefahaman (MoU) antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia akan dimeterai di Hotel Grand Hyatt Jakarta petang ini, dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion,

Pada sebelah malam, Anwar dijadualkan hadir majlis makan malam anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo esok di Istana Presiden di Bogor untuk kedua-dua negara menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi serta potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara Nusantara, pembatasan sempadan darat dan maritim, serta pengambilan dan perlindungan pekerja dari Indonesia.

Anwar akan bertemu Jokowi pada Isnin
Kedua-dua pemimpin itu kemudian dijangka menyampaikan ucapan bersama.

Sebagai rekod, ini adalah lawatan rasmi pertama Anwar sebagai Perdana Menteri, pada Ogos 2018, beliau pernah mengadakan kunjungan hormat kepada Joko Widodo atas kapasitinya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Post a Comment

0 Comments