Selesai menghadap Sultan, PM solat di Kampung Melayu Majidee



SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene di Johor Bahru pagi ini.

Anwar yang sedang dalam lawatan kerja ke negeri itu tiba di Senai Business Aviation Terminal pada 9.55 pagi dan disambut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Kenderaan membawa perdana menteri ke-10 itu kemudian tiba di istana berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

Sebelumnya Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana tersebut pada 9.34 pagi, diikuti Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim 10 minit kemudian.
 
Ahli Parlimen Tambun itu selesai sembah menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada jam 11.55 pagi.

Beliau kemudiannya meluangkan kira-kira 25 minit menjamu selera dan beramah mesra dengan masyarakat di sebuah medan makan di Kampung Melayu Majidee.

Turut menemani beliau, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PM sempat luang masa santuni masyarakat
Beliau selepas itu ke Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi yang terletak kira-kira 40 meter dari medan selera tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Anwar kemudian menandatangani plak perasmian masjid berkenaan.

Perdana menteri itu kembali ke ibu negara selepas selesai program tersebut.

Kali terakhir beliau ke Johor ialah ketika berkempen pada PRU15 awal November lalu.
 

Post a Comment

0 Comments