Warganet puji tindakan menteri buat lawatan mengejut ke hospital

 


USAHA Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melihat dan memahami sendiri masalah di kemudahan kesihatan kerajaan wajar diberi pujian.

Beliau tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan telah membuat lawatan mengejut ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada Rabu malam.

Sekeping gambar dimuat naik oleh @ansaleya di Twitter tular, Zaliha yang berpakaian kasual dan berpelitup muka dilihat duduk berbual dengan sejumlah pesakit yang sedang menunggu rawatan di jabatan kecemasan hospital berkenaan.

“Memang pasti malam tadi memang Menteri Kesihatan. Siapa sahaja yang perasan kalau datang mengejut mcm pesakit juga kan?

“Patutlah dia ada tanya beberapa orang. Macam tiada siapa pun yang sedar itu menteri kesihatan,” ciap @ansaleya.

Seorang pegawainya yang dipetik laporan sebuah portal memaklumkan, Zaliha hadir untuk mendapatkan maklum balas mereka tentang perkhidmatan di situ terutama isu waktu menunggu yang lama di jabatan kecemasan.

Kata pegawai itu, kebanyakan pesakit mengadu mereka menunggu lama untuk mendapat rawatan manakala petugas kesihatan pula memberi cadangan untuk menambah baik beberapa aspek kesihatan.
 
"Maklum balas dari kedua-dua belah pihak telah dibawa dalam mesyuarat Kementerian Kesihatan untuk penambahbaikan, kata pegawai itu lagi.

Zaliha berkata beliau memandang serius masalah kesesakan di jabatan kecemasan dan trauma di hospital kerajaan dan giat merangka pelan bagi mengatasi masalah kesesakan sedemikian.

Beliau bukan menteri pertama membuat kunjungan mengejut. Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini melakukan hal sama di beberapa stesen LRT di ibu negara untuk meninjau perkhidmatan di situ.

Di ruangan komen Twtter mendapati ramai yang memuji tindakan Ahli Pimpinan Pusat parti KEADILAN itu yang dilihat prihatin kerana sanggup turun padang meninjau isu berkaitan pengurusan kesihatan.

“Setuju sangat menteri kita sendiri jenguk turun macam ini lagi-lagi pada waktu puncak. Hospital kerajaan memang banyak isu yang kritikal,” komen seorang netizen.

Ramai warganet puji tindakan Dr Zaliha
“Berharap dengan kunjungan menteri, ada perubahan signifikan selepas ini,” komen netizen yang lain pula.

Sebagai rekod, Zaliha yang merupakan Ahli Parlimen Sekijang, Johor itu merupakan wanita pertama di lantik sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam pentadbiran lalu.

Post a Comment

0 Comments