KKM tingkat kesiapsiagaan bendung penularan COVID-19


KEMENTERIAN
Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa memantau situasi dan perkembangan jangkitan COVID-19, kata Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha yang merupakan Menteri Kesihata dalam satu kenyataan berkata, langkah proaktif itu akan dilaksana kementerian susulan situasi semasa jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa dan perubahan polisi pengurusan wabak itu di negara China.

"Mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes COVID- 19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes," kata Ahli Parlimen Sikijang itu.

Zaliha turut memberitahu bahawa pihak kementerian akan melaksana empat strategi utama bagi menangani jangkitan wabak tersebut di negara ini, strategi itu adalah

1. Memperkukuhkan survelan COVID-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal.

2. Melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi.

3. Mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam.

4. Memperkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui laporan mingguan situasi COVID-19 yang dikeluarkan baru-baru ini memberitahu, sebanyak 148,659 kes positif COVID-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember 2022) telah dilaporkan di negara China.

Secara keseluruhannya, WHO menyatakan trend kes COVID-19 adalah masih berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Di Malaysia setakat 24 Disember 2022, sebahagian besar varian SARS-CoV-2 yang dikesan adalah varian Omicron (66.17%), diikuti oleh varian Delta (32.69%), Beta (1.06%); dan Alpha (0.08%). Daripada kumulatif varian Omicron yang dikesan,

"61.6% adalah subvarian BA.5.2 dan 10.8% adalah subvarian XBB.1 dan tiga (3) kes subvarian BF.7,

"Walaubagaimanapun, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes COVID-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital kesan daripada langkah-langkah kesihatan awam dan imuniti kelompok yang terhasil daripada liputan vaksinasi COVID-19 yang luas," kata Zaliha merujuk situasi semasa dalam negara.

Sehubungan itu selain strategi yang telah digariskan oleh KKM, Zaliha turut menyeru masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

Orang awam jelasnya disarankan agar sentiasa mengamalkan TRIIS (Test,Report, Isolate, Inform, Seek).

"Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai.

Orang awam digesa amal cara hidup sihat
"Mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian COVID-19 kendiri.

"KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di dalam dan luar negara serta bekerjasama rapat dengan WHO, China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," tambah Zaliha lagi.

Post a Comment

0 Comments