"Retorik kaum dan agama' antara punca tinggalkan Bersatu, kata Masidi

 


PEMIMPIN Bersatu Sabah membuat “keputusan sebulat suara” meninggalkan parti itu demi kepentingan Sabah dan kebaikan Malaysia, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun.

Bimbang dengan “peningkatan retorik kaum dan agama” menjelang PRU lalu yang melibatkan beberapa parti dari semenanjung terutama dari Perikatan Nasional sendiri, Masidi menegaskan retorik seperti itu tidak konsisten dengan nilai Sabah dan Sarawak.

Sabah tegasnya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama dan hidup harmoni selama berabad-abad, justeru keputusan yang dibuat itu adalah usaha melindungi warisan budaya dan sosial mereka daripada “dicemari dengan nilai bukan dari Sabah”.

Penduduk di kedua-dua negeri itu juga jelasnya sebahagiannya mempunyai ahli keluarga yang berbeza agama,

“Sukar untuk GRS atau, dalam hal ini, ramai rakyat Sabah menerima apa yang kini diketengahkan sebagai ‘Islam politik’.

“Sebagai orang Islam, saya bangga dengan Islam, tetapi saya tidak fikir mana-mana pihak boleh mengaku sebagai wakil tulen agama agung ini.

“Islam adalah agama universal yang inklusif dan menghormati semua kepercayaan dan budaya. Ia adalah agama ihsan dan kemanusiaan yang menghormati hak orang lain termasuk minoriti,” katanya.

Semalam Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, beliau dan pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Keputusan itu berdasarkan status quo “tidak boleh dipertahankan lagi”.

Susulan keputusan itu, semua bekas pemimpin Bersatu Sabah, termasuk wakil rakyat, akan menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, di bawah parti tempatan baharu yang bakal ditubuhkan.
 
“GRS akan menyokong mana-mana pemimpin atau gabungan yang komited untuk memelihara cara hidup Malaysia untuk semua orang, dan itulah sebabnya kami sepenuh hati di belakang Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” kata Masidi dalam satu kenyataan yang menyokong keputusan Hajiji itu.

Keputusan bagi pelihara keharmonian di Sabah
Sebagai rekod, Semasa GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac lalu, Bersatu antara salah sebuah parti dalam GRS yang membentuk gabungan yang kini disertai lima parti.

Pada PRU lalu, Bersatu Sabah memenangi empat kerusi Parlimen melalui calon yang walau bagaimanapun bertanding dibawah tiket GRS.


Keputusan Bersatu Sabah meninggalkan parti itu difahamkan tidak meninggalkan kesan terhadap keempat-empat Ahli Parlimen itu walaupun undang-undang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti kerana mereka masih di bawah naungan GRS sebagai parti gabungan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menepis kenyataan Masidi dengan menyifatkkanya sebagai tuduhan dangkal.

Dia mendakwa Bersatu dan PN
sama sekali tidak akan bertindak untuk mencabul kehormatan hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni,




Post a Comment

0 Comments