Elak banjir: MB arah semak sistem perparitan


MENTERI BESAR
Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di negeri itu mencari punca serta mengambil tindakan segera menangani isu banjir kilat di beberapa kawasan di negeri itu.

Antaranya, beliau menggesa JPS melihat sama ada sistem perparitan sedia ada sudah tidak lagi sesuai dan perlu dinaik taraf.
 
“Punca berlakunya banjir kilat sejak akhir-akhir ini sama ada melibatkan perparitan yang kurang sesuai atau perlu dinaik taraf, perkara tersebut perlu diberikan perhatian,” katanya di Wisma Negeri baru-baru ini.

Mengulas mengenai persediaan oleh agensi kerajaan negeri dalam menghadapi kemungkinan bencana banjir, Aminuddin berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan persediaan yang dijalankan.

Kerajaan negeri juga jelasnya telah menyediakan aset bersesuaiaan bagi operasi menyelamat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri itu sekiranya berlaku bencana banjir.   
 
"Kita telah menguji tiga buah bot untuk diserahkan kepada pihak bomba dalam masa terdekat, bagaimanapun kita berdoa bencana banjir tidak berlaku di negeri ini dan negara,” katanya dipetik.

Selain banjir, Aminuddin turut meminta agensi berkaitan memantau kawasan-kawasan berisiko kejadian tanah runtuh.

Kebelakangan ini jelasnya kejadian-kejadian seperti itu semakin kerap berlaku.

Aminuddin gesa JPS ambil tindakan segera
Selain menyebabkan laluan jalan raya terputus, kejadian itu jelasnya sangat membimbangkan apabila berlaku berhampiran kawasan penempatan.

"Tindakan segera telah diambil pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), dengan melantik kontraktor bagi memperbaiki kerosakan.

“Jumlah kos keseluruhan masih dinilai seperti di Jalan Bukit Berlian 5, Taman Bukit Berlian, Lobak melibatkan kos hampir RM3 juta. Kejadian tanah runtuh kali ini banyak berlaku di beberapa kawasan dan terbaru kejadian di Taman Saujana, Jempol,” katanya.


Post a Comment

0 Comments