Bekas menteri sedia kongsi pengalaman demi jayakan agenda reformasi


BEKAS
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kesediaanya berkongsi pengalaman bagi menjayakan agenda reformasi sektor kesihatan negara.

Bercakap kepada media pada satu program di Kuala Selangor semalam, Dr Dzulkefly berkata beliau terbuka memberi nasihat dan cadangan terbaik kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) menyatakan kesediaan untuk membantu namun ia terpulang kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

“Selain itu, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil kira segala kepentingan, kekangan dan penglibatan untuk membentuk Kabinet terbaiknya,” katanya.

Dr. Zaliha yang merupakan Ahli Parlimen Sikijang, Johor dari Pakatan Harapan (HARAPAN) melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

Beliau akan dibantu Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni turut diumumkan lantikan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan pada Jumaat.

Dzulkefly yang merupakan pakar Toksikologi dari Imperial College, St. Mary’s Hospital Medical School, Universiti London UK dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 2018, kemudian meletak jawatan susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) susulan langkah Sheraton pada 2020.

Beliau sebelum ini mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor, namun atas desakan banyak pihak terutama dari pengundi dan pimpinan partinya, Dzulkefly sekali lagi bertanding mempertahankan kerusi Kuala Selangor pada Pilihan Raya lalu.

Memperolehi 31,033 undi, Dzulkefly mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendapat 30,031 undi dan dua calon lain masing-masing dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Noor Mohd Sahar calon GTA-Pejuang, Mohd Shaid Rosli.

Sementara itu ketika diminta mengulas pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan, beliau menegaskan ia berdasarkan kepada Kerajaan Perpaduan dan bukannya Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melihat kerjasama antara HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) itu mampu membentuk semangat kedamaian dan saling menghormati, kerajaan terbentuk itu juga jelasnya bertanggungjawab untuk memajukan semula negara ini.

Dzul tiada masalah kongsi pengalaman
“Justeru, semua Ahli Parlimen HARAPAN memahami segala kekangan yang dihadapi kerana apa lebih penting kerajaan ini mengangkat prinsip sama dalam menambah baik sistem tadbir urus dan membanteras  ketirisan.

“Kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga perlu menangani apa jua perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan budaya,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments