PN berbelanja besar untuk kempen, dana datang dari mana?


SEORANG pemimpin UMNO menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion semasa pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yassin.
 
Isham Jalil yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, siasatan menyeluruh perlu dibuat agar rakyat tahu sama ada wang berbilion ringgit itu dimanfaatkan atau sebaliknya memandangkan perbelanjaan itu dilakukan semasa tempoh darurat dan Parlimen tidak dapat melakukan semak dan imbang kerana digantung ketika itu.

Beliau turut mempersoalkan apakah ada kemungkinan wang itu sebahagiannya digunakan bagi membiayai kempen PN untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Apabila kita tengok PRU15, kita tengok dia belanjakan peruntukan dan perbelanjaan yang besar untuk pilihan raya. Jadi, rakyat nak tahu dari mana dia dapat duit ini.

“Adakah duit yang dia belanja ini datang daripada ‘taxpayer’ (pembayar cukai) daripada RM600 bilion? Ini tak sepatutnya berlaku sebab kita tidak mahu ada unsur-unsur politik wang masa pilihan raya itu.

“Kita tak nak parti yang banyak menang kerusi dengan sebab politik wang dan unsur-unsur rasuah dan sebagainya,” katanya.

Bekas perdana menteri, Mahathir Mohammad pernah mempersoalkan kemana wang RM600 bilion yang didakwa perbelanjaan pengurusan Covid-19 telah dibelanjakan.

"Kononnya sebanyak RM600 billion sudah dibelanja oleh Kerajaan dalam masa hanya lima bulan. Tetapi di mana pergi duit ratusan billion ini.

“Bukan mudah untuk belanja duit sebanyak ini. Beli vaksin ke? Tak akan habis 600 billion beli vaksin. Apa harga vaksin? Siapa yang membeli? Kenapa sedikit sangat yang sudah diterima?" soalnya dipetik laporan media.

Presiden Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan baru-baru ini turut menggesa siasatan dilakukan terhadap perbelanjaan pengurusan Covid-19 yang mencecah RM600 bilion.

Katanya, beliau mendapat maklumat dan aduan daripada orang ramai mengenai perbelanjaan yang dikatakan ‘tidak masuk akal’ itu.

“Kita mahu mendapatkan perhatian daripada  Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan kerisauan kita terhadap perkara ini dan kita mahu perkara ini tidak berlaku lagi selepas ini.

Isham sokong RCI segera ditubuhkan


“Sebenarnya lansung tidak masuk akal dengan belanja banyak ini. Hari ini kita mahu bawa perkara ini ke hadapan dan mahu perkara ini di pandang serius oleh pihak bertanggungjawab,” katanya dalam satu sidang media.

Post a Comment

0 Comments