Negeri Sembilan lancar dokumen dasar pembangunan ekonomi


KERAJAAN Negeri Sembilan melancarkan dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025 dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027) pada Selasa.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, RPNS 2021-2025 merupakan dokumen yang menggariskan pelaksanaan dasar pembangunan semua sektor ekonomi negeri.

Ia jelasnya menyediakan hala tuju intervensi dasar yang melangkaui 2025 di mana sebahagiannya bersifat jangka panjang seperti pembangunan dan pengoperasian aktiviti ekonomi pemangkin di wilayah Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

“Kerangka RPNS 2021–2025 dibentuk supaya komprehensif dan menjadi faktor kepada kemajuan ekonomi setempat yang memanfaatkan sepenuhnya sumber tempatan, mengurangkan jurang perbezaan kualiti hidup penduduk bandar dan luar bandar.

“Ia juga memperkasakan infrastruktur, kemudahan sokongan, kesinambungan dan akses kepada teknologi dan perkembangan dunia semasa dan memperkasakan modal insan tempatan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya  dipetik laporan Utusan.
 
Jelas Aminuddin lagi, dokumen RPNS 2021-2025 mengandungi 13 bab yang dibahagikan kepada tiga tema dan disokong oleh dua pemangkin dasar sebagai panduan ke arah perubahan signifikan struktur ekonomi Negeri Sembilan.

Tema-tema tersebut adalah berhubung soal kemampanan ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta kelestarian alam sekitar.

“Manakala dua pemangkin dasar memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur, kemudahan awam dan perkhidmatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta memperkemaskan tadbir urus dan penyampaian sektor awam,” katanya ketika melancarkan dokumen itu dalam satu acara di Port Dickson.

Menyentuh mengenai PEDNS 2027 pula, beliau menjelaskan ia merupakan pelan tindakan di peringkat negeri berpandukan kepada Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).

Ia dibangunkan secara bersama oleh kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Perunding Kajian Roland Berger

“Matlamat utama penyediaan PEDNS 2027 adalah bagi memastikan pelaksanaan RTEDM di peringkat nasional dijajarkan dengan sebaiknya di peringkat negeri sekali gus membuka ruang dan peluang kepada semua golongan masyarakat di Negeri Sembilan.

Sebagai rujukan untuk capai sasaran negeri
“Pelan ini akan dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan sasaran pencapaian negeri bagi tempoh lima tahun akan datang melalui penetapan bidang keutamaan sejajar dengan hala tuju pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan termasuk Pelan Stategik Pendigitalan (PSP) dan perancangan lain yang dikenal pasti,” katanya.
 
Kandungan utama PEDNS 2027 terbahagi kepada empat komponen utama iaitu ekosistem ekonomi digital di Negeri Sembilan, visi dan hala tuju, struktur tadbir urus serta kajian keberkesanan dan perancangan masa hadapan. 

Post a Comment

0 Comments