Harapan belia kepada kerajaan baharu


MAJLIS
Belia Malaysia (MBM) menggesa semua pihak menghentikan pertelingkahan politik dan memulakan kerja agresif bagi menangani masalah belia.

Ketua Penerangan MBM, Syafiq Ridzwan Jamaluddin berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan pelbagai peluang, sokongan dan dukungan agar golongan belia mampu bersama-sama dalam agenda pembangunan negara serta negeri.

"Cukuplah drama politik sekian lama dan mari kita kembali kepada pembangunan negara serta belia di Malaysia. Apa sahaja pertelingkahan politik yang lepas jangan dibawa sampai ke hari ini.

“Kita tidak mahu lagi melihat belia negara ini hilang pekerjaan dan jadi papa kedana. Cukuplah belia berdepan dengan situasi ini ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu,” ujarnya.

Dalam masa sama beliau turut berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bersama Menteri KBS, Hannah Yeoh dapat wujudkan sebuah ekosistem supportive kepada belia-belia ini dalam segala aspek.

“Ini untuk memperkembangkan karakter, memperkembang potensi, idea dan ekonomi, maka apa yang kita perlu lakukan adalah kita perlu bersama bekerja dengan Jabatan Belia dan Sukan untuk mewujudkan satu ekosistem yang mesra belia,” ujarnya.

Sementara itu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjayakan agenda perpaduan di negara ini.

Jelas Muhammad Faisal, prasangka yang wujud daripada ketidakseimbangan kualiti hidup rakyat menjadi punca timbulnya naratif perpecahan di negara ini.
 
“Bila mana kita sebut tentang menutup ruang prasangka, ia bukan hanya sekadar mengadakan pertemuan, berdialog atau mengadakan program bersama semata-mata tetapi (solusi) yang lebih konkrit.

“Kerajaan berperanan untuk memperkenalkan dasar-dasar penyatuan seperti contoh bagaimana isu-isu rintihan kelompok marginal, orang asli, golongan rentan, penduduk luar bandar dapat diselesaikan,” katanya dipetik laporan Awani.

Belia harap perpaduan diperkukuh
Beliau turut menegaskan tindakan undang-undang masih perlu untuk memberi pengajaran kepada mereka yang melampaui batas tatasusila.

"Namun langkah itu tidak merawat permasalahan pada akarnya.

"Maka cara terbaik adalah dengan memastikan segenap lapisan masyarakat yang pelbagai di negara ini tidak terlalu terpisah dan masing-masing dapat mengecap kesejahteraan hidup yang selayaknya," katanya menurut laporan.

Post a Comment

0 Comments