KPDN kaji keperluan wujudkan sistem e-aduan lebih kompeten


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melihat keperluan mewujudkan sistem e-aduan lebih kompeten bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sebarang aduan atau cadangan.

Langkah itu menurut menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilihat penting bagi mendapat maklum balas pengguna selain mempercepat tindakan oleh pihak KPDN.

"Saya akan bincang dahulu dengan pihak kementerian dan melihat kepakaran yang ada. Banyak aplikasi canggih pada hari ini yang kita boleh aplikasikan... pengguna juga tidak perlu datang ke pejabat.

"Contohnya hari ini saya membuat lawatan mengejut ke Pejabat KPDN Johor dan bertemu seorang pengguna yang datang dari Kluang semata-mata untuk membuat aduan ke Tribunal Pengguna.

"Seharusnya pengguna tidak perlu datang ke pejabat yang jauh bagi membuat aduan," katanya dipetik laporan Bernama.

Semalam, Salahuddin mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat KPDN Negeri Johor selain meninjau Mahkamah Tuntutan Pengguna (TTPM).

Dalam lawatan secara mengejut itu, beliau meninjau struktur pejabat dan kakitangan dan mendengar isu-isu yang dibangkitkan.

Cari langkah mudahkan rakyat buat aduan


Beliau turut menegaskan bahawa aduan yang diterima daripada orang ramai perlu ditangani dalam tempoh yang pantas bagi membela hak pengguna.


Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata beliau akan meningkatkan kekerapan membuat lawatan mengejut termasuk ke kawasan luar bandar bagi meninjau situasi bekalan dan harga telur serta minyak masak peket bersubsidi di pasaran.



Post a Comment

0 Comments