PM tak campur tangan urusan kehakiman, tak kompromi dengan rasuah


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak mahu mencampuri urusan kehakiman di negara ini.

Pada ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana pada Ahad, Anwar menegaskan beliau masih berpendirian seperti sebelum ini.

Sekalipun berada di tampuk kuasa tegasnya, beliau tidak pernah memberi jaminan akan melepaskan sesiapa daripada hukuman, sekiranya sesorang itu diputuskan bersalah oleh hakim yang bebas dan adil.

"Kebebasan, profesionalisme badan-badan kerajaan, saya adakan beberapa pertemuan dengan ketua polis negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Negara dan lain-lain yang memberi gesaan yang sama.

"Saya membuktikan bahawa ada orang Melayu, anak Melayu yang gunakan kuasa untuk menjaga dan membela nasib rakyat terbanyak.

"Saya nak buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu dihormati, diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkan," katanya.

Sementara itu Anwar turut menekankan bahawa dibawah pentadbirannya, beliau tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti rasuah.

Beliau memberi amaran akan memecat serta merta mana-mana anggota Jemaah Menteri yang terbabit dengan aktiviti rasuah kerana ia berkait dengan pelanggaran tata kelola.
Anwar masih pegang prinsip, tolak amalan rasuah
"Saya sudah bercakap dengan semua ketua-ketua parti komponen, kalau ada kes seperti itu (rasuah) ketika pemerintahan saya. Saya minta pecat serta merta. Saya tidak tolak ansur dan ini bukan soal politik. Ini adalah keyakinan saya.

"Saya telah dihumban ke penjara dan dipukul setengah mati dan sudah lama terseksa dan saya bukan mahu mendabik dada sebab aku menang," katanya dalam pertemuan itu.

Selain Anwar, turut hadir ke pertemuan itu antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Post a Comment

0 Comments