Johari ikrar galas tanggungjawab dengan amanah

 


YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT yang baru dilantik, berikrar akan memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan jujur dalam melaksanakan prosiding dan urusan dewan.

Datuk Johari Abdul dalam ucapan sulungnya selepas dilantik melalui proses pengundian berharap Dewan itu dapat berfungsi sebagai platform menyampaikan teguran yang membina.

"Seperti yang diketahui umum, kerusi Yang Dipertua merupakan simbolik kepada kuasa dan bidang tugas Yang Dipertua pula mengawal selia dan memastikan kelancaran mesyuarat dengan pematuhan peraturan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat seperti dengan jelas termaktub dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Justeru, saya memohon semua Ahli Dewan Rakyat menghormati kerusi Yang Dipertua dengan memberi penghormatan dan kepercayaan kepada saya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, bukan atas dasar kapasiti peribadi tetapi, sebagai individu yang dipilih menduduki kerusi ini dan diberi tanggungjawab dalam segala prosiding serta urusan dalam dewan yang mulia ini.

“Oleh itu jadikan Dewan ini sebagai sebuah platform menyampaikan teguran yang membina dan menyampaikan pendapat-pendapat molek dan bernas. Hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan yang mulia ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” katanya dalam ucapan.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan pencalonan Johari, ia kemudian disokong Timbalan perdana menteri, DatuK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin bin Bacha Mydin mengumumkan Johari mendapat sebanyak 147 undi.

Johari merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani yakin dengan pengalamannya sebagai bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli perniagaan berupaya membantunya melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Sementara itu Johari turut merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana kerajaan yang terbentuk pada hari ini adalah dengan titah perkenan Seri Paduka Baginda.

Johari gesa kepentingan negara jadi keutamaan
"Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada seluruh pengundi kerana menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada kali ini dalam mencorakkan kepimpinan negara.

"Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini juga menyaksikan pembabitan golongan anak muda seawal umur 18 tahun sebagai pengundi yang memberi impak peningkatan besar peratusan pengundi keluar mengundi buat julung kali dalam sejarah PRU, sekali gus turut memberi sumbangan penting dalam membentuk hala tuju negara," katanya.

Post a Comment

0 Comments