Dewan Rakyat bertafakur, kongsi rasa sedih untuk mangsa tanah runtuh


DEWAN RAKYAT merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Jumaat lepas.

Datuk Johari Abdul dalam ucapannya sulungnya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menzahirkan kesedihan dengan insiden yang mengorbankan nyawa itu.

"Di kesempatan ini, saya mahu menyatakan kesedihan dengan insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan nyawa. Saya menzahirkan rasa simpati kepada mangsa yang terlibat.

“Saya berharap agar keluarga mangsa kekal tabah dan cekal dengan dugaan ini. Saya bagi pihak Ahli-ahli Dewan (Dewan Rakyat) dan pihak Parlimen sesungguhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat terutamanya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan.

Speaker Dewan Rakyat sampaikan ucapan takziah


Johari kemudiannya meminta semua Ahli Parlimen berdiri dengan yang beragama Islam menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah, manakala bukan beragama Islam bertafakur selama seminit.


Seramai 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang selamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam insiden tragedi tanah runtuh itu.  

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan bagi mencari sembilan lagi mangsa yang belum ditemui dalam tragedi itu.

Post a Comment

0 Comments