Banjir Pantai Timur: PM umum bantuan segera RM100 juta


KERAJAAN PERSEKUTUAN mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu susulan banjir yang melanda negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sebagai bantuan awal untuk meringankan beban rakyat rakyat di negeri terbabit akibat bencana Monsun Timur Laut memandangkan keadaan banjir kali ini lebih ‘parah’ daripada biasa.

“Memandangkan banjir ini lebih parah daripada biasa, walaupun saya telah maklumkan TPM Ahmad Zahid yang ke sini berapa hari lalu, telah beri kelulusan RM12 juta, saya setuju setelah bincang dengan Kementerian dan Jemaah Menteri untuk luluskan segera RM50 juta untuk Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu.

“Ini keperluan segera yang melibatkan kebajikan rakyat,

"jadi peruntukan awal RM1,000 kepada semua keluarga ketua keluarga terlibat, dan sekiranya ada kemalangan, peruntukan RM10,000 bagi mangsa tersebut,” katanya pada sidang media.

Anwar lewat petang tadi mengadakan lawatan ke Kelantan untuk meninjau perkembangan banjir di beberapa daerah di negeri itu.

Beliau turut mengambil kesempatan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di Pasir Mas sebelum menerima taklimat dari pegawai-pegawai jajahan dan pihak Jabatan Perairan dan Saliran negeri berhubung isu banjir yang melanda.

Pada sidang media itu juga Anwar memaklumkan beliau mengambil maklum isu penangguhan sementara projek tebatan banjir Sungai Golok Fasa 1 dan 2 dan memberi jaminan akan mempercepatkan projek itu secara tender terhad untuk memastikan tiada kos berlebihan.

“Walaupun projek tebatan banjir tangguh sebentar, kerana saya mahu dijalankan proses tender walaupun terhad, untuk memastikan tidak ada kos yang berlebihan.

“Saya beri jaminan sebaik saja JPS kemukakan kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Kewangan akan ‘fast track’ dengan syarat ia bukan rundingan terus demi menjami kos tidak meningkat,” katanya lagi.

Anwar berkata, beliau meminta perkara itu diselesaikan dalam tempoh sebulan demi menjamin kesejahteraan rakyat di negeri itu.


Bantuan segera untuk ringan beban rakyat terjejas
“Saya minta kalau boleh akhir bulan. Tapi schedule saya tak tahu, saya bagi tahu kalau boleh dipercepatkan, kalau urusan di MOF disegerakan. Tapi schedule bulan Januari, jadi saya beri kelonggaran.


“Ikut tender terhad, tidak boleh tender biasa kerana masa terlalu panjang, tak boleh juga rundingan terus kerana kos meningkat tak tentu arah. Lebih baik tender terhad kalau nak cepat, proses itu boleh dipercepatkan,” katanya lagi

Post a Comment

0 Comments