55 ribu mangsa banjir dipindahkan, dana RM500,000 diluluskan


LEBIH 55,000 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dilapor telah dipindahkan ke pusat pemindahan pemindahan (PPS) setakat tengah malam tadi.

Di Terengganu, sebanyak 291 PPS dibuka setakat jam 10 malam. Mangsa dipindahkan bertambah 10,116 orang berbanding 19,601 pada sebelah petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam laporannya memaklumkan Kemaman kini merekodkan jumlah mangsa teramai apabila 9,717 mangsa daripada 2,497 keluarga berada di 35 PPS.

Menerusi laporan media, seramai 6,401 mangsa (1,978 keluarga) berada di 60 PPS di Hulu Terengganu, manakala 84 PPS dibuka di Besut bagi menempatkan 5,492 mangsa membabitkan 1,506 keluarga.

Di Setiu, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang dilaporkan sebanyak 99 PPS dibuka bagi menempatkan lebih 8100 mangsa.
 
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa turut memaklumkan beberapa balai dan pondok polis ditutup setelah ditenggelami air.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman pula memaklumkan keadaan banjir di Besut kini semakin buruk dengan semua jalan menuju ke daerah itu terpaksa ditutup kerana ditenggelami air.

Sementara di Kelantan, 138 PPS dibuka di sembilan daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Jeli, Bachok, Tumpat dan Kuala Krai.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan berkata, mangsa banjir di Pasir Mas paling ramai iaitu 7,108 mangsa daripada 2,355 keluarga yang ditempatkan di 32 PPS.

Daerah Tumpat merekodkan 4,442 mangsa daripada 1,256 keluarga di 13 PPS, diikuti Pasir Puteh (3,685 mangsa daripada 989 keluarga di 14 PPS) dan Kuala Krai (3,132 orang daripada 836 keluarga di 22 PPS).

Selebihnya, mangsa direkodkan di Kota Bharu (3,028 mangsa daripada 699 keluarga di 22 PPS), Tanah Merah (1,637 orang, 501 keluarga di 17 PPS), Machang (1,032 mangsa, 293 keluarga di sembilan PPS), Bachok (1,030 mangsa, 257 keluarga di enam PPS) dan Jeli (420 mangsa daripada 108 keluarga di tiga PPS).

Tujuh sungai utama di negeri ini melepasi paras bahaya sehingga ada antaranya melebihi bacaan 10 meter.

Difahamkan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengatur gerak anggota dan aset bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir khususnya kawasan yang terjejas di Kelantan serta Terengganu.

Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (PKPWKM) lwat malam tadi telah meluluskan Perolehan Darurat sebanyak RM500,000 bagi membiayai keperluan segera dan bantuan kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Kerajaan lulus perolehan darurat RM 500,000
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu bagi memastikan barangan keperluan di stor, mini depoh dan pengkalan hadapan di daerah terjejas sentiasa tersedia.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan perhatian dan bantuan akan diberikan secara adil tanpa meminggirkan negeri pembangkang.
 

Post a Comment

0 Comments