Zahid tampi nafi dakwaan BN setuju kerjasama dengan PN


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa blok diketuainya telah mengadakan perundingan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi persefahaman untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Pengeruso Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg mengenai kesediaan gabungan itu membentuk kerajaan bersama PN dan BN.

"Saya suka menegaskan Barisan Nasional tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama dengan Perikatan Nasional," katanya dalam satu kenyataan.

Abang Johari awal hari ini berkata, blok politik pimpinannya itu setuju mencalonkan Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri.

Berdasarkan keputusan PRU ke-15 semalam, GPS mempunyai 22 kerusi parlimen.

Tanpa persetujuan BN untuk bekerjasama dengan GPS dan PN serta beberapa parti lain, gabungan itu masih belum memperoleh kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Namun berdasarkan kiraan, sekiranya BN yang memiliki 30 kerusi mahu bekerjasama dengan HARAPAN yang merupakan blok terbesar memenangi pilihan raya dengan jumlah 82 kerusi, mereka melepasi angka membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.
 
Sementara itu, Ahmad Zahid mengingatkan semua ahli parlimen BN yang menang PRU15 telah menandatangani akujanji pilihan raya.
 
"Dan memberi mandat kepada saya selaku presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

BN belum setuju kerjasama dengan Muhyiddin
"Sehubungan ini, mana-mana ahli parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi parlimen, selaras dengan undang-undang larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan keputusan rasmi PRU ke-15 yang menyaksikan tiada parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Parti politik yang mendapat gabungan terbanyak perlu mengadakan gabungan untuk membentuk kerajaan.
 

Post a Comment

0 Comments