DATUK SERI Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangannya berhubung sentimen perkauman melampau yang sedang dimainkan ketika ini di laman sosial TikTok.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mendakwa sentimen dan retorik perkauman itu diapikan oleh segelintir pihak yang terdesak dan berkepentingan terutamanya di saat penting seperti sekarang.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha dan ikhtiar dalam menubuhkan kerajaan yang bertanggungjawab dan stabil tidak seharusnya berakhir dengan kekacauan.
“(Ini) kerana kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli, suku kaum Sabah dan Sarawak adalah bersaudara sebagai manusia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
“Saya amat mengalu-alukan kenyataan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dalam menghentikan perkembangan yang mampu menggugat kemajmukan Malaysia ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Media sebelum ini melaporkan sejak berakhirnya pilihan raya pada Sabtu, beberapa hantaran berunsur perkauman antaranya menggunakan tragedi 13 Mei sebagai content tersebar di media sosial khususnya TikTok.
Naratif serupa turut dikongsikan dengan disasarkan kepada orang Melayu-Islam, mendakwa DAP akan menguasai politik jika parti itu dibenarkan menjadi sebahagian kerajaan baru yang ditubuhkan.
"Penglibatan yang ketara dilihat di TikTok tetapi ia juga telah menjadi tular di seluruh platform.
"Naratif ini menghasut dan digunakan untuk menimbulkan ketakutan, dan mendorong agenda anti-DAP (anti-Cina) sambil menyeru terutamanya Perikatan Nasional untuk mentadbir negara," kata pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu.
Acryl Sani melalui satu kenyataan media menggesa orang ramai agar tidak memuat naik kemas kini yang boleh menimbulkan situasi yang mengancam keselamatan di media sosial.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan beberapa kandungan sensitif dan menyentuh sentimen perkauman dimuat naik di beberapa platform media sosial, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), pada Ahad.
Berpolitik jangan sampai gugat keharmonian kaum |
Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
0 Comments