Perbincangan dengan BN berlangsung positif - Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau mampu membentuk dan mengetuai “kerajaan perpaduan” dengan sokongan BN.

Dalam satu sidang media di Kuala Lumpur siang tadi, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata, walaupun BN masih belum membuat keputusan rasmi mengenai kerjasama, namun beliau berpuas hati dengan hasil pertemuan kedua-dua pihak hari ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15) yang berlangsung pada Sabtu berakhir dengan tiada mana-mana blok mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

HARAPAN mendapat jumlah kerusi terbanyakk dengan 82 kerusi, Perikatan Nasional 72, Barisan Nasional (BN) 30.

Manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya memperolehi 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6, lain-lain termasuk Warisan sebanyak enam kerusi.

PN sebelum ini membuat dakwaan bahawa mereka mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan dengan kerjasama GPS, GRS dan BN.

BN kemudian menafikan mereka mempersetujui apa-apa kerjasama dengan PN, malah menegaskan tiada perbincangan kearah itu dibuat.

Sementara itu, Anwar ketika mengulas perbincangan di Hotel Seri Pacific itu berkata, tujuh wakil BN terlibat dalam perbincangan bersama PH.

Mereka antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya  Mohamad Hasan dan naib presiden  Ismail Sabri Yaakob. Ismail yang juga perdana menteri sementara, katanya, terpaksa keluar awal kerana mempunyai urusan kerja.

Katanya, perbincangan berkisar keperluan membentuk kerajaan yang stabil dan terangkum yang menumpukan kepada pentadbiran tadbir urus yang baik dan membangunkan ekonomi negara.

Ditanya sama ada kes mahkamah pemimpin BN dibincangkan, Anwar menegaskan perkara itu tidak dibincangkan.

Apakah usah Anwar akan membuahkan hasil?
“Kes-kes itu tidak berkaitan dengan apa yang telah dibincangkan. Mahkamah, mahkamah lah, ia tidak terikat dengan apa dipersetujui kerajaan.

“Badan kehakiman harus bebas, jangan dikaitkan dengan eksekutif,” kata Anwar pada sidang media.


Post a Comment

0 Comments