ORANG Melayu dinegara ini tidak bodoh untuk mempercayai propaganda kaum anti-DAP yang dimainkan pihak tertentu terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, serangan termasuk tuduhan DAP membawa agenda komunis dan anti-raja ialah dakwaan tidak masuk akal.
Ia jelasnya “lagu lama” yang kembali didendangkan PAS serta sekutunya setiap kali menjelang pilihan raya.
“Sebenarnya, saya simpati dengan rakan saya dalam DAP. Saya bekerja rapat bersama mereka lebih berdekad-dekad, dan jika benarlah mereka parti komunis, mengapa masih dibenarkan parti itu masuk bertanding pilihan raya?
"Saya mahu beritahu kamu (PAS), Melayu tidak sebodoh itu untuk percaya propaganda seperti itu lagi.
“Mereka cukup arif bahawa PAS dan Bersatu (kini dalam PN) pernah bekerjasama dengan DAP sebelum ini untuk berkuasa. Mereka sedia mengetahui pemimpin DAP sudah menandatangani dokumen bersama pemimpin HARAPAN lain mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan menjunjung hak Perlembagaan Raja-Raja,” kata peguam itu.
Abdul Hadi sebelum ini melempar tuduhan kononnya DAP membawa ideologi “komunis” dan “anti-tuhan”. Dia juga mendakwa parti itu menonjolkan calon Melayu sebagai alat politik seperti Lee Kuan Yew pernah menggunakan parti Melayu di Singapura.
Namun dakwaan penyandang Parlimen Marang itu dibidas Pengerusi HARAPAN sendiri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap dalam siri ceramah di Melaka berkata, Abdul Hadi menyedari bahawa DAP bukan pro-komunis.
Mengimbau perjanjian ditandatangani bersama oleh pemimpin Pakatan Rakyat pada 2008 termasuk oleh Abdul Hadi dan Lim Kit Siang, Anwar menegaskan bahawa DAP bersetuju menjunjung hak Melayu dan status Islam sebagai agama rasmi.
“Ustaz Hadi tahu (tuduhan itu tidak benar)... pada tahun 2008 dia, Kit Siang dan saya tandatangan surat dokumen (menegakkan) Islam sebagai agama persekutuan.Jika DAP komunis, kenapa tak diharamkan?
“Bahasa Melayu (sebagai) bahasa kebangsaan. Sign (tandatangan). Hak Islam, Melayu dan bumiputra. Sign. Kedudukan Raja-raja Melayu. Sign. Dia yang sign (tandatangan) dia tengok dan kita bincang isi tetapi masih lagi dia fitnah,” kata Anwar.
0 Comments