MB Negeri Sembilan cuti dari tugas rasmi sepanjang tempoh kempen


MENTERI BESAR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan bercuti daripada tugas rasmi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan Aminuddin pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di Seremban semalam.

Beliau yang dicalonkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen P132 Port Dickson berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan antara tugas rasmi dan politik sepanjang tempoh berkempen.

Sepanjang tempoh bercuti juga, beliau tidak akan menggunakan aset kerajaan negeri seperti kenderaan-kenderaan jabatan.

“Saya akan mula bercuti pada Sabtu ini iaitu pada hari penamaan calon dan saya tidak akan menggunakan kemudahan yang ada, maknanya saya tidak akan gunakan kereta jabatan dalam kempen saya, dan tiada merasmikan apa-apa majlis.

“Melainkan saya perlu hadir Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, sekitar pukul 10 pagi hingga pukul 2 petang,” katanya.

Negeri Sembilan tidak membubarkan DUN serentak dengan parlimen bagi menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap musim banjir dan menjaga kebajikan rakyat selaras dengan keputusan Majlis Presiden HARAPAN bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin  berkata, mesyuarat Exco bersetuju memberikan kebenaran sewa mana-mana dewan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini oleh mana-mana parti politik bagi tujuan kempen masing-masing.

“Sebagai sebuah negeri demokrasi, kita setuju untuk memberikan kebenaran. Kita tahu sekarang ini musim hujan, kadangkala menyukarkan untuk tujuan kempen, jadi kami benarkan semua parti untuk menyewa mengikut jam dan bukannya disewa dalam tempoh lama.

Aminuddin elak konflik kepentingan
“Setakat tiga atau empat jam, selepas itu orang lain pula boleh guna. Jika pasang bendera (parti) namun sengaja tidak mahu menanggalnya, selepas itu, kami tidak berikan kebenaran lagi. Perkara ini juga telah kami maklumkan kepada semua pegawai daerah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran,” katanya.

Jelas beliau, sewaan tersebut hanya melibatkan dewan dan tidak melibatkan balai raya dan dewan yang berada di bawah bangunan kerajaan. 

Post a Comment

0 Comments