MENTERI BESAR Perak, Saarani Mohamad mendedahkan beliau menerima pelawaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membentuk kerajaan bersama kerana blok itu berbesar hati mengembalikan jawatan itu bagi membolehkannya meneruskan perancangan di negeri itu.
Dipetik laporan media, beliau berkata ada didatangi Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, namun hanya bertindak menguruskan perjumpaan dengan Pengerusi PN Perak, Ahmad Faizal Azumu.
"Dia minta saya berunding dengan Peja (Ahmad Faizal). Maka saya berjumpa dengan Datuk Seri Peja dan Datuk Zainol (Fadzi)
"Saya memaklumkan kepada mereka saya diberikan tawaran peranan itu (menteri besar). Jika PN nak buat apa-apa tawaran kepada saya, silalah.
"Sehingga semalam (Ahad), saya tidak menerima apa-apa tawaran itu," katanya pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada Isnin.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, UMNO dan BN pada asalnya bersedia untuk menjadi pembangkang kerana sedar mereka tidak mampu membentuk kerajaan negeri selepas PRU15.
"Kami sedar diri dan sedia jadi pembangkang. Kita kalah.
"Kalau ada mana-mana parti menawarkan kami membentuk kerajaan dan memberi peranan kepada kami untuk turut serta dalam pentadbiran kerajaan, sudah pasti saya kena terima.
"Kalau tidak terima, ahli akan cakap saya bodoh, saya adalah orang menerajui (pelan) Perak Sejahtera 2030. Saya nak meneruskannya," katanya.
Saarani mahu teruskan pelan Perak Sejahtera 2030 |
"Ini satu perkara (penggabungan BN-HARAPAN) yang mungkin mengejutkan tetapi maafkan mereka yang tidak faham sebab tak tahu apa keadaan sebenar berlaku," katanya dipetik laporan Berita Harian.
0 Comments