HARAPAN cukup kerusi bentuk k'jaan bersama gabungan - Anwar

 


DATUK SERI Anwar Ibrahim, mendakwa PAKATAN HARAPAN sudah mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dalam satu sidang media awal pagi tadi, Anwar berkata pihaknya telah mengadakan suatu persefahaman dengan wakil rakyat lain, dan gabungan itu sudah meraih “majoriti”.

“Majoriti bermaksud lebih daripada 111,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Beliau turut menegaskan, HARAPAN kini adalah blok terbesar yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mereka berhak untuk membentuk kerajaan bersama pihak lain.

“HARAPAN ialah pakatan besar…faham tiada parti yang memperoleh majoriti mudah, memerlukan beberapa proses perbincangan bagi pembentukan kerajaan.” jelasnya.

Anwar enggan mendedahkan sokongan yang diterimanya, dan berkata ia hanya akan didedahkan selepas menyerahkan angka itu kepada Agong.

Mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin bahawa PN boleh membentuk kerajaan, Anwar menyifatkannya adalah mustahil.

“(Kita) cakap tentang fakta. Kalau khabar angin, perlu tanya Muhyiddin,” katanya.

Ditanya sama ada HARAPAN bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak, Anwar sekadar berkata beliau menyambut baik perkara itu, “tapi tak boleh cakap banyak pasal perkara ini”.jelasnya lagi.

HARAPAN blok paling besar menang PRU15
Setakat jam 4.00 pagi tadi, HARAPAN memperolehi 82 kerusi.

Perikatan Nasional tertinggal di tempat kedua dengan 73 kerusi dan BN  yang beria-ia mahu pilihan raya diadakan menerima nasib malang apabila memenangi hanya 30 kerusi.

GPS memenangi 22, GRS(6) , Warisan(3), Bebas(2) manakala cuma seorang calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) berjaya memenangi pertandingan kali ini.

Post a Comment

0 Comments