CALON Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie meletakkan isu taraf hidup, kebajikan dan pendidikan sebagai keutamaanya.
Mahasiswa pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Sosial Sains) di Universiti Malaya itu berkata, beliau mahu memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat dibangkitkan golongan petani, nelayan dan golongan belia di kawasan itu yang tidak diselesaikan sejak sekian lama.
“Manifesto saya akan fokus kepada sosioekonomi dan juga pembangunan untuk anak-anak muda serta menyelesaikan masalah petani dan nelayan. Itu adalah tunjang utama dalam manifesto saya.
“Selepas lebih seminggu berkempen, saya juga menerima maklum balas daripada golongan anak muda di sini yang mahukan ‘One Stop Center’ untuk aktiviti sukan kerana dalam Parlimen Arau tidak banyak fasiliti begitu.
“Golongan muda ini tak banyak pilihan dan terpaksa pergi ke sempadan Kangar, Padang Besar. Manifesto saya ini realistik dan boleh dilaksanakan kerana ini adalah isu rakyat sebenar. Kita juga fokus menyelesaikan masalah mereka dan tidak berangan-angan tinggi,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Fathin Amelina yang berusia 28 tahun akan berhadapan dengan penyandang Parlimen Arau, Shahidan Kassim yang bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) dan Rozabil Abd Rahman dari Barisan Nasional (BN).
Dari segi latar pendidikan, Fathin Amelina yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Cabang Padang Besar mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perancangan dan Pembangunan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selain itu juga, beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya.
Shahidan baru-baru ini membuat kenyataan memperlekeh Fathin Amelina apabila menganggap Fathin sebagai 'bukan sesiapa' atau 'she is nothing'.
Walau bagaimanapun calon taruhan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu mengambil sikap terbuka terhadap kenyataan Shahidan dengan menganggapnya sebagai 'asam garam' Pilihan Raya Umum (PRU).
"Saya rasa macam benda itu (kritikan) biasalah di mana setiap orang akan mempertikaikan kredibiliti orang muda (bertanding calon PRU).
"Jadi saya anggap itu sebagai cabaranlah kepada diri saya kerana sebagai orang muda," katanya.
Menyentuh mengenai kempennya, Fathin Amelina berkata kini beliau menerima maklum balas baik daripada golongan muda dan warga tua.
"Ramai juga yang memberi sokongan dan memberitahu akan menyokong Fathin Amelina.
Fathin Amelina tak gentar berdepan nama besar |
“Sekarang ini, kita memang kena tekan ‘boost button’ untuk kempen berhabis-habisan. Bagaimanapun dalam tempoh masa terhad ini, saya akan lebih fokus untuk turun di kawasan yang kami yakin menang atau mempunyai peluang dalam memastikan mereka terus menyokong saya,” tambah anak muda itu lagi.
0 Comments