Dakwaan PN ada cukup sokongan kenyataan pramatang


KETUA Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) Saifuddin Nasution Ismail menyangkal kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan itu mempunyai jumlah akuan berkanun melebihi 112 surat.

Beliau berkata kenyataan Hamzah Zainudin “pramatang”, “mustahil”, dan “tidak konklusif” terlebih lagi pihak Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein tampil melalui satu kenyataan menafikan dakwaan 10 wakil rakyat Umno menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri.

Ia juga ambil maklum kenyataan BN sendiri bahawa sebarang akuan berkanun lain atau rundingan dengan parti lain oleh mana-mana Ahli Parlimen gabungan itu “tidak sah”.

"Kami mengambil pendirian berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebarang akuan berkanun yang lain, atau sebarang rundingan dengan parti-parti lain oleh mana-mana ahli parlimen Umno adalah tidak sah dan tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokonganmajoriti kepada mana-mana calon perdana menteri.

"Ia juga boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani,” katanya.

Sebelum ini Zahid turut menegaskan BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO itu juga berkata tiada sebarang perundingan dilakukan dengan PN setakat ini, yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan.

PN belum berjaya kumpul sokongan


Kenyataan Hamzah bahawa PN memiliki majoriti cukup membentuk kerajaan turut disangkal Pengerusi HARAPAN.


"Tidak benar. Saya mengatakannya dengan jelas," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meninggalkan Hotel Seri Pacific selepas mengadakan perbincangan bersama pemimpin UMNO siang tadi.

Post a Comment

0 Comments