Tak munasabah pertahan lagi kelayakan Najib, kata NGO

 


KERAJAAN didesak supaya memansuhkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak kekal sebagai anggota parlimen sehingga permohonan pengampunan diraja selesai.

Gesaan itu dibuat sekumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) susulan status 'tergantung' Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak yang kini dipenjarakan di Penjara Kajang atas kesalahan jenayah.

“Kami berpendirian bahawa ahli parlimen yang disabitkan atas kesalahan jenayah seperti Najib patut dihilangkan kelayakan sebagai anggota parlimen selepas semua rayuan terhadap sabitan kes selesai,” kata kumpulan itu dalam kenyataan media.

Kenyataan itu dikeluarkan aktivis hak asasi manusia Charles Hector bagi pihak Aliran, Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) and Workers Hub for Change (WH4C).

Pada 5 September lalu, yang dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata status Najib sebagai ahli Parlimen kekal memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan pihak bekas Presiden Umno itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, kuat kuasa kehilangan kelayakan Najib akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

Walau bagaimnapun seorang Ahli Parlimen membidas kenyataan Azhar itu dengan berkata, jika dibaca Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, jelas Najib sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Hassan Abdul Karim (HARAPAN-Pasir Gudang) berkata,  tidak ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, jika seseorang Ahli Parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah, kelayakannya sebagai Ahli Parlimen tetap kekal.

BACA:
Aneh bila Azhar masih pertahan status Najib

"Sebaliknya apa dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu (yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda yang tidak kurang daripada dua ribu ringgit) dan dia tidak mendapat pengampunan bebas, dia hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Najib ditempatkan di Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun atas sabitan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC bernilai RM42 juta.

Dia juga didenda RM210 juta yang perlu dibayar sebelum selesai menjalani hukuman. Najib pada 2 September memfailkan permohonan pengampunan diraja.

Akui fakta Najib telah disabitkan bersalah
Sementara itu  Hector berkata, rakyat Malaysia telah menunggu selama empat tahun selepas Najib didakwa kali pertama di mahkamah pada  Julai 2018 dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Katanya, tiada lagi kewajaran yang munasabah untuk menangguhkan kehilangan kelayakan itu selepas proses rayuan berakhir, walaupun permohonan pengampunan diraja difailkan kemudiannya.

“Pengampunan diraja itu tiada kena mengena dengan fakta bahawa anggota parlimen tersebut telah dibuktikan bersalah melebihi keraguan munasabah, disabitkan dan dijatuhi hukuman,” tegas pendiriannya yang sama seperti dinyatakan Hassan Karim.

Post a Comment

0 Comments