Hassan Karim rasa aneh bila Azhar masih pertahan status Najib


AHLI PARLIMEN Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun mengkaji semula keputusannya tentang kelayakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang Ahli Parlimen Pekan.

Hassan yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan berkata, amat jelas Najib telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen.

Beliau menyatakan pandangan itu dengan merujuk kepada empat syarat mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Empat syarat itu jelasnya adalah apabila seseorang itu sudah didapati bersalah oleh mahkamah Persekutuan, dihukum penjara tidak kurang satu tahun, didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

"Sehingga hari ini Najib tidak mendapat pengampunan bebas. Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah keputusan terakhir dalam sistem mahkamah di Malaysia. Tidak ada mahkamah yang lebih tinggi lagi daripada Mahkamah Persekutuan dalam sistem perundangan di Malaysia.

"Walaupun Najib ada memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi prosiding pengampunan diraja itu belum didengar. Lembaga Pengampunan Diraja bukannya mahkamah.

"Apa dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas maka dia hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen ," kata beliau yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Dia menjalani hukuman 12 tahun pada hari yang sama.

Najib baru-baru ini melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, memohon kebenaran untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dia memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Azhar ketika mengulas status bekas Presiden Umno itu sebagai Ahli Parlimen berkata, ia kekal sehingga proses permohonan pengampunan diraja serta semakan kehakiman yang difailkannya selesai.
 
Hassan sementara itu berkata, memang benar Najib sudah memfailkan prosiding semakan di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan Najib, namun permohonan semakan oleh Najib itu katanya, bukan satu penggantungan pelaksanaan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

"Tidak ada dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa jika seseorang ahli Parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah maka kelayakannya sebagai ahli Parlimen tetap kekal.

Hassan memetik Perkara 48(1)(e)
"Daripada segi undang-undang, sabitan kesalahan Najib dalam pertuduhan dalam Kes SRC International adalah kekal. Hukuman Penjara 12 tahun dan denda RM210 juta adalah berkuat kuasa sekarang.

"Tidak ada penggantungan perlaksanaan diberikan Mahkamah Persekutuan kepada Najib. Ini bermakna semua syarat kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen ada pada Najib sekarang.

"Agak pelik dan aneh Azhar memutuskan bahawa Najib masih kekal sebagai ahli Parlimen Pekan," ujarnya.

 

Post a Comment

0 Comments