PRU15: HARAPAN mampu tawan kerusi 27 kawasan kritikal


NAIB
Presiden parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli menzahirkan keyakinan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) mampu menang di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN berkata, kerusi-kerusi itu boleh dimenangi sekiranya HARAPAN mampu menguasai 30 peratus sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan meskipun berlakunya pertembungan satu lawan satu sama ada bertembung dengan UMNO atau Pas.

“Mengikut pengalaman saya pada pilihan raya umum lalu, anda perlu memenangi hati dan fikiran pengundi, jika mahu memenangi pilihan raya.

“Jika KEADILAN dan HARAPAN boleh merayu pengundi Melayu mencukupi di 27 kerusi itu, melepasi ke paras 30 peratus dalam tempoh dua ke tiga bulan ini, maka ia boleh dilakukan.

"Mungkin kita akan mengejutkan UMNO dan Pas," katanya mengulas laporan media bahawa Pas bersedia berunding dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan pertembungan di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal.

Rafizi sebelumnya ditemui pemberita selepas pelancaran pentauliahan pengurus kempen parti itu menggunakan aplikasi CISTA di Kuala Lumpur.

Dipetik laporan Utusan, Rafizi ketika mengulas lanjut keyakinannnya itu berkata, KEADILAN dan HARAPAN boleh mendapat manfaat apabila sokongan pengundi Melayu mencecah hingga 30 peratus ditambah sokongan tinggi pengundi bukan Melayu, termasuklah jumlah 75 peratus keluar mengundi.

“Sebenarnya 27 kerusi itu majoritinya adalah kerusi ditandingi KEADILAN dan biasanya mempunyai pengundi Melayu seramai 60 hingga 70 peratus.

“Sekiranya UMNO dan PN (Pas) bergabung dan mengelak pertembungan di situ, mereka boleh menguasai sehingga 90 peratus undi Melayu dan menang, walaupun tidak mempunyai banyak sokongan bukan Melayu.

“Beberapa kerusi (kritikal itu) di Kedah seperti Merbok, Kulim Bandar Baharu serta Tambun (Perak). Di Johor seperti Ledang dan Muar. Di Selangor, di beberapa kerusi yang kuat kerana ramai profesional Melayu cenderung menyokong Pas,” katanya.

Tumpu usaha tarik pengundi di kawasan kritikal
Sehubungan itu jelasnya persediaan perlu dilakukan bagi menarik sokongan pengundi terutama apabila kebanyakan mereka lebih terarah menyokong KEADILAN disebabkan beberapa isu antaranya mengenai peningkatan kos sara hidup,

“Sejak Julai hingga Ogos lalu, kami melihat perubahan sehingga empat peratus sokongan Melayu kepada KEADILAN dan HARAPAN.

“Disebabkan itulah persediaan perlu dilakukan sekarang termasuklah meyakinkan pengundi atas pagar,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments