SATU petisyen bagi membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa musim banjir telah dimulakan Rafizi Ramli semalam.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu di laman Change.org itu menjelaskan hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat jelas bahawa mereka mahukan ahli politik untuk menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir dan bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ketika ini menurut Rafizi mendapat tekanan hebat dari UMNO untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.
Namun jelasnya, dengan desakan itu sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir.
"Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini.
"Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk," ujarnya.
Sebagai rekod, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dilihat sering membuat desakan supaya Ismail segera mengadakan pilihan raya.
Pada majlis pelancaran Jentera Pemuda Barisan NAsional (BN), di Stadium Titiwangsa pada 17 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dilapor berkata pihaknya sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini
Sementara itu Rafizi yang menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai mendabik dada berkata, semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil, namun isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.
"Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu," katanya.
"PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihanraya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.
"Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihanraya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir," kata Rafizi sambil menggesa orang ramai berkongsikan petisyen tersebut.
Tinjauan di laman Change.org beberapa jam selepas Petisyen Bantahan PRU15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan dilancarkan mendapati sokongan diterima sudah mencecah 5,000 tandatangan.
Beberapa individu di ruangan komen petisyen itu berkata, ia bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya ketika musim banjir.
Syed Norizam menegaskan keselamatan rakyat perlu diutamakan dahulu sebelum pilihan raya boleh diadakan.
![]() |
Ketika musim banjir, PRU wajar ditangguhkan |
"UMNO nak PRU cepat untuk selamatkan mereka daripada hukuman penjara termasuk MIC.. Saya akan pastikan majoriti pengundi Kaum India akan undi Pakatan Harapan," katanya.
Manakala Balsingam Rajadurai pula berkata, beliau menandatangani petisyen itu untuk rakyat, keadilan dan dirinya.