'Mereka' hanya dengar suara rakyat bila PRU dah dekat - Anwar


KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa banyak persoalan berkaitan rakyat dibangkitkan dalam Dewan Rakyat tidak dijawab.

Ketika berucap pada program ceramah di Alor Setar pada Ahad, Anwar yang juga Presiden KEADILAN itu berkata, kerajaan dilihat lebih memihak kepada 'orang besar' dan  suara rakyat hanya akan didengari apabila pilihan raya semakin hampir.

Menurutnya, antara yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya ialah masalah pesawah, harga minyak mentah tidak mampu dikawal, kerosakan dialami akibat pembalakan serta kemiskinan.

“Masalahnya, bila kita lantik pemimpin, dia ubah kekayaan secara melampau. Di Parlimen kami lawan habis-habisan contohnya, isu Global Financial Integriti, berbilion wang diambil dari dalam negara bawa keluar, simpan di pusat kewangan luar persisir supaya tidak ada rekod. Dulu Kertas Panama, sekarang Kertas Pandora.

"Saya bangkitkan di Parlimen, tanya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berkali-kali tak ada respons. Bukan saya suruh hukum, suruh siasat.

"Dijawabnya, ya. Setahun berlalu, sampai hari ini dia belum siasat,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Anwar mengusulkan supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora, yang membabitkan fail kewangan sulit.

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat telah dibuat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Sebagai rekod, Kertas Pandora merupakan pendedahan fail kewangan sulit sebesar 2.94 terabyte kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) melibatkan 600 wartawan dari 150 organisasi media di 117 negara.

Pendedahan itu membabitkan transaksi golongan elit dan korup yang menyembunyikan aset bernilai beberapa trilion dolar AS di dalam pelbagai akaun luar pesisir dengan beberapa individu dari Malaysia turut dikaitkan.

Sementara itu dalam ucapannya juga, Anwar berkata, isu pembalakan tidak terkecuali dan berlaku di beberapa negeri sehingga mengakibatkan bencana dan kemusnahan alam sekitar dan harta benda.

“Saya bangkitkan isu balak di Pahang. Saya minta kerajaan termasuk menteri dari Pas supaya arahkan syarikat-syarikat balak tolong bayarkan ganti rugi kerosakan.

“Syarikat untung besar, rakyat tak dapat apa tapi rumah rosak, saya cadang bagilah ruang supaya syarikat yang untung besar ini bantu rakyat susah. Sampai sekarang tak dijawab,” katanya lagi.

Ketika mengulas isu kenaikan harga minyak masak di Malaysia, Anwar berkata beliau pernah mencadangkan perkara serupa.
 
“Saya bagi cadangan di Parlimen, bolehkah keuntungan daripada syarikat besar seperti Guthrie, Felda, Sime Darby atau IOI yang beroleh berbilion ringgit, ditetapkan 10 peratus daripada harga minyak sawit dijual pada harga rendah sebab harganya melambung. Sampai sudah tak dijawab.

“Hanya 10 peratus, RM800 juta setahun. Saya minta ambillah RM700 juta, bagilah sikit kouta untuk orang tempatan beli dengan harga rendah. Biarlah untung kecil, bukan nak bagi rugi,” katanya.

Justeru tambah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu lagi, pihaknya tidak mahu penipuan berlaku berterusan dan keadaan ini harus dihentikan menerusi pemilihan kerajaan baharu yang lebih meyakinkan.

Rakyat digesa jangan salah buat pilihan


“Siapa yang buat keputusan pilih kerajaan? Rakyat yang buat (keputusan) akhirnya. Siapa lantik Perdana Menteri? Rakyat yang bagi kemenangan pada dia. Kali ini, taubat jangan bagi dah.


“Pilihlah pemimpin Islam yang dilihat mampu melaksanakan keadilan, mengasihi rakyatnya sehingga rakyat mengasihi beliau.

"Pemimpin yang berlaku adil kepada semua serta agih pembangunan yang boleh meletakkan prinsip keadilan bagi semua,” ujar bekas Menteri Kewangan terbaik Asia itu dipetik.

Post a Comment

0 Comments