AHLI PARLIMEN Kota Melaka Khoo Poay Tiong mengkritik kenyataan seorang EXCO Melaka, Ab Rauf Yusoh berhubung pembinaan jambatan menghubungkan Malaysia dan Indonesia.
Menyifatkan pengumuman itu sebagai “tidak bertanggungjawab dan tanpa maklumat yang lengkap”, beliau berkata, kerajaan negeri mesti terlebih dahulu mendedahkan sama ada kajian kebolehlaksanaan dan analisis kos-faedah telah dilakukan untuk projek itu.
“Rauf dan kerajaan negeri harus berhenti membuat pengumuman secara membuta tuli tanpa maklumat yang lengkap dan konsisten.
“Rauf (juga) tidak wajar membuat spekulasi bahawa projek tersebut akan mendatangkan pertumbuhan ekonomi tanpa mengemukakan sebarang fakta dan analisis.
“Pengumuman sedemikian adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana ia menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan orang ramai dan para pelabur, di samping mencemarkan kredibiliti kerajaan.” katanya dalam kenyataan.
Ab Rauf Yusoh dipetik laporan Bernama berkata, cadangan pembinaan sambungan sejauh 120km antara kedua-dua negara, melalui Telok Gong di Masjid Tanah Melaka dan Dumai di Sumatera itu secara dasarnya telah diterima oleh kedua-dua negara.
Pembangunan yang dicadangkan itu akan melibatkan pembinaan terowong atau jambatan, akan mengambil masa 20 tahun.
Bagaimanapun bagi mendapatkan kesahihan kenyataan Rauf itu, Khoo mendesak menggesa kerajaan persekutuan menyatakan pendiriannya berhubung projek projek infrastruktur awam utama itu yang melibatkan kerjasama rentas sempadan dengan negara lain.
Malah mahu Rauf mendedahkan nama dan butiran syarikat yang terlibat dalam projek yang dicadangkan itu, termasuk kelayakan dan keupayaan kewangannya untuk melaksanakan projek sebesar itu.
“Tiada syarikat swasta yang akan melaksanakan projek ini secara percuma,” kata Khoo.
Syarikat mana akan bangunkan jambatan 120km? |
“Orang ramai dan para pelabur telah memandang sinis terhadap pengumuman projek ini. Tidak dilupakan bahawa Melaka telah mempunyai banyak projek-projek ‘gajah putih’ dan yang terbengkalai sebelum ini.” tegasnya.
0 Comments