Apakah M'sia sedang alami kemelesetan ekonomi, tanya Ahli Parlimen


KERAJAAN Persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dikritik kerana bersikap membisu selepas ringgit jatuh ke paras terendahnya dalam tempoh 24 tahun minggu lepas.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegur Ismail dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz kerana tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu sedangkan rakyat tegasnya berhak mendapatkan penjelasan mengenai situasi itu.

“Ringgit kini berada pada paras terendah dalam tempoh 24 tahun. Jika ini bukan krisis ekonomi, apa lagi?”

“Itulah persoalan yang ditanya rakyat biasa kepada kerajaan ‘pintu belakang’ yang tidak demokratik pimpinan Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan.

Pada 7 September, media melaporkan mata wang tempatan susut kepada 4.5020/5040 berbanding dolar AS 4.4970/4500 ketika ditutup pada Selasa yang merupakan paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Sehari selepas itu Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

BNM dalam satu kenyataan berkata, pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.

"Hal ini telah menyebabkan ketidaktentuan yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit," kata bank pusat itu.

Sementara itu Lip Eng menegaskan bahawa rakyat dan pemilik perniagaan di negara ini memerlukan maklumat dan bimbingan dalam menghadapi kegawatan ekonomi semasa negara.

“Selepas kejatuhan kadar tukaran yang mengejutkan ini, negara tidak mampu untuk dibohongi lagi. Sudah tiba masanya untuk kerajaan berterus-terang dan memberitahu kita jika (negara) kini mengalami kemelesetan (ekonomi).

“Mereka juga mesti memaklumkan apa rancangan mereka untuk membantu rakyat keluar daripada kekacauan ekonomi ini, bukannya membiarkan sahaja semuanya berjalan secara ‘auto pilot’.”

Jangan berlagak seperti tiada apa berlaku


Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai kesan susulan ekoran kemerosotan ringgit. termasuk kemungkinan harga barangan import naik.


"Kenaikan sedemikian boleh meningkatkan tahap inflasi yang dihadapi rakyat, tambahnya.

“Oleh itu, usaha mesti dibuat secara proaktif untuk meningkatkan jaminan makanan negara agar kita tidak terlalu bergantung kepada makanan import.” kata pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Post a Comment

0 Comments