Rafizi kemuka bukti kaitkan menteri dengan skandal LCS

KETIKA media tertumpu kepada prosiding rayuan akhir Najib Razak semalam, Rafizi Ramli tampil lagi berkongsikan bukti mengaitkan seorang Menteri dalam skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Presiden KEADILAN itu melalui satu kenyataan berkata, beberapa bukti penglibatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Ahmad melalui Zainab Mohd Salleh iaitu individu dipercayai isteri dengan syarikat Alizes Marine Limited yang dakwanya ditubuhkan sebagai syarikat luar pesisir untuk menyeleweng dana projek itu.

Menurut Rafizi, sebuah syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd (pendaftaran 1163389-W) yang ditubuhkan bersama oleh Abdul Latiff dan Zainab pada Ogos 2015 memperoleh kontrak pertahanan bernilai jutaan ringgit.

Mega P Asia menurutnya disebut dalam laporan audit forensik sebagai syarikat yang membekalkan tenaga kerja dari Chile untuk projek kapal selam (Scorpene) membabitkan jutaan ringgit.

"Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr Abdul Latiff Ahmad bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan.

“Laporan Forensik Projek LCS menyenaraikan alamat-alamat palsu digunakan di dalam invois Alizes dan menamakan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Georges Andre Barrier sebagai individu yang terlibat di dalam skim penipuan ini.

“Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Dr Abdul Latiff Ahmad terlibat di dalam skim penipuan menggunakan invois-invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois-invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).

"Hubung kait di antara Dr Abdul Latiff Ahmad dengan Zainab Mohd Salleh diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia Sdn Bhd menunjukkan Dr Latiff Ahmad dan Zainab Mohd Salleh merupakan pemegang majoriti saham-saham syarikat itu," jelas Rafizi.

Sebagai rekod, Abdul Latiff yang kini merupakan pemimpin Bersatu, pada masa itu merupakan timbalan menteri pertahanan dari Umno, manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengetuai kementerian itu.

 Mengulas lanjut dakwaanya, Rafizi mendakwa Maklumat Borang 68 yang menyatakan perincian pemegang saham sesebuah syarikat bagi tahun 2017, difailkan dengan SuruhanjayaSyarikat Malaysia menunjukkan Abd Latiff memegang 105,002 saham dan Zainab memegang 245,000 saham di dalam Mega P Asia.

Katanya, laporan kewangan Mega P Asia yang diaudit bagi tahun kewangan 2016 juga menunjukkan bahawa syarikat itu yang ditubuhkan Abd Latiff dikawal oleh Zainab.

“Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab adalah isteri (kedua) Abd Latiff dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana daripada projek LCS.

“Jika benar Zainab bukan isteri Abd Latiff seperti disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Abd Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab mengawal Mega P Asia, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek Kementerian Pertahanan?” soal beliau.

Susulan pendedahan Rafizi sebelum ini, Abdul Latiff pada Isnin menafikan Zainab sebagai isterinya.

Walau bagaimanapun jelas Rafizi, Latiff cuba memutar belit kenyataannya untuk mengelirukan orang ramai dengan menafikan Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Rafizi tampil dengan bukti sokongan
“Rujukan kepada ‘berita yang tular’ sudah tentu merujuk kepada kesilapan satu portal berita yang melaporkan kononnya Zainab yang terlibat di dalam projek LCS ini adalah Ketua Pegawai Kewangan Dialog Berhad yang juga bernama Zainab Mohd Salleh.

“Saya tergelak kerana besar kemungkinan Abd Latiff benar-benar ingat saya pun tersilap begitu juga.

“Zainab Mohd Salleh yang memiliki Alizes Marine Limited adalah seorang individu lain,” ujarnya bekas Ahli Parlimen Pandang itu.

Post a Comment

0 Comments