Presiden PAS wajar bertanggungjawab bila buat kenyataan

 


SEKALI lagi kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang mendakwa golongan bukan Islam dan bukan bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara ditempelak.

Penasihat Buruh Antarabangsa Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D Angelus menyatakan rasa kesal apabila isu perkauman sering digunakan sebagai modal politik oleh parti tertentu untuk meraih sokongan rakyat.

“Abdul Hadi sepatutnya lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas mengenai bukan Islam dan bukan bumiputera yang kononnya menjadi punca kepada segala masalah.

“Ancaman pertumpahan darah perlu diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya ia berlaku dalam kes lain, adakah ia akan diterima?" katanya dipetik.

Abdul Hadi yang merupakan Duta Khas bertaraf menteri itu dalam satu  konvensyen dipetik berkata, “orang-orang ini” (bukan Islam dan bukan Bumiputera) akhirnya mengawal ekonomi negara dan menggunakan wang mereka (rasuah) untuk mencemarkan politik, pentadbiran dan kehakiman.

Ia mengundang banyak kritikan, Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil dipetik laporan media berkata, tidak wajar pemimpin politik itu membuat tuduhan rambang yang tidak disertakan dengan bukti yang menjatuhkan maruah kaum lain.

BACA: Tuduh bukan Islam pengamal rasuah, Presiden PAS ambil fakta mana?


"Dari mana dia dapat angka-angka ini? Kenyataan secara umum begitu benar-benar suatu tuduhan liar, dan tidak wajar.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tidak mengeluarkan pecahan pelaku rasuah mengikut kaum," kata Fahmi.

Kumpulan orang Melayu terkemuka G25 pula menyifatkan cubaan  Abdul Hadi Awang untuk menyalahkan orang bukan Islam atas rasuah itu menunjukkan beliau kurang mengetahui puncanya.

Tegas mereka, pelobi politik adalah “penggerak dan penggoncang” sebenar rasuah, bukan golongan bukan Islam atau bukan bumiputra.

Kenyataan Abdul Hadi turut dikritik rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN). Chong Fat Full yang merupakan Ketua sayap Bersekutu Bersatu berkata, Abdul Hadi Awang membelakangkan realiti apabila membuat dakwaan itu.

“”Kita boleh tengok sendiri, pemimpin yang naik turun mahkamah yang ada kes rasuah itu (rata-rata) Bumiputera. Dia tak boleh kata kita rosakkan politik dan ekonomi negara.

“(Walaupun bersama Perikatan Nasional) sebagai seorang pemimpin bukan Bumiputera saya berhak untuk tidak bersetuju,” katanya.

Tak wajar Abdul Hadi buat tuduhan melulu
Transparency International-Malaysia (TI-M) turut menyelar Abdul Hadi Awang susulan kenyataan itu.

Presidennya, Muhammad Mohan menegaskan bahawa komen sebegitu yang dibuat dalam demokrasi berbilang kaum, etnik dan agama adalah “memalukan, perkauman, fitnah dan berpotensi menghasut”.

"Mereka yang membuat kenyataan mengelirukan seperti itu harus bertanggungjawab di sisi undang-undang," tegasnya.


Post a Comment

0 Comments