Negara perlu k'jaan stabil, bukan dibawah telunjuk - Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar keputusan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Bajet 2023 yag dianggap mencurigakan.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata walaupun tindakan menyegerakan pembentangan itu bukan sesuatu yang di luar kelaziman, namun dalam keadaan ini ia mengambarkan perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sedang berdepan tekanan dari dalam partinya agar segera mengadakan pilihan raya.

“Umumnya dalam praktik kita dalam satu dua tahun ini, ada perundingan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) berdasarkan memorandum persefahaman, umpamanya aspek percukaian, perbelanjaan, ketelusan, pertanggungjawaban dalam beberapa isu pokok yang mahu dibentangkan.

"Ini (rundingan) belum bermula. Bermakna mereka terburu-buru melaksanakan (pembentangan belanjawan).

"Maka adalah diandaikan ini dilakukan supaya memberikan sekali lagi ruang untuk perdana menteri menentukan tarikh pilihan raya," katanya.

Media kebelakangan ini melaporkan spekulasi pilihan raya akan diadakan tahun ini apabila Umno telah meningkatkan tekanan Ismail untuk mengadakan pilihan raya mengejut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat mengesahkan Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, iaitu tiga minggu lebih awal dari tarikh yang dimaklumkan sebelum ini.

Dia bagaimanapun menafikan kaitan antara pertukaran tarikh itu dengan pilihan raya umum akan datang walaupun pada minggu lalu berkata pilihan raya umum akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan bajet persekutuan di Parlimen.

"Apabila bajet diluluskan dan rakyat merasakan manfaatnya, maka ia adalah masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen," katanya.

Sementara itu Anwar membangkitkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan kerajaan sebelum tergesa-gesa mengadakan pilihan raya.

Ia antaranya peningkatan kos sara hidup, pembaharuan pendidikan, kemudahan kesihatan, menghadapi pendigitalan dan Kepintaran Buatan dan perubahan iklim, dengan banjir berlaku beberapa kali setahun.

"Malangnya satu pentadbiran yang lemah seperti yang ada sekarang di bawah telunjuk berberapa tokoh yang takut hadapi pendakwaan di mahkamah, tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang meningkat.

"Kerajaan yang stabil dengan mandat yang jelas supaya pemerintahan baru ini boleh menumpukan perhatian pertama mempastikan tata kelola kerajaan yang baik dan menghapuskan rasuah," katanya.

K'jaan bawah telunjuk tak mampu bantu rakyat
"Jadi kita harap rakyat akan diberi pencerahan bersama untuk bangkit bertindak menuntut perubahan dan pembaharuan yang menyeluruh," katanya.

Persidangan parlimen seterusnya pada mulanya dijadualkan diadakan antara 28 Okt hingga 15 Dis dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2023 pada 28 Okt.

Post a Comment

0 Comments