Hak Najib untuk pengampunan, tapi fakta kes jelas dan terang - Anwar


PIHAK yang memohon Najib Razak diberi pengampunan diraja digesa perlu terlebih dahulu membaca dan menilai keputusan hakim yang mengendalikan kes rasuah SRC International bekas perdana menteri itu.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas tindakan sekumpulan penyokong Najib menyerahkan memorandum ke Istana Negara bagi memohon pengampunan Ahli Parlimen Pekan itu berkata, semamangnya Najib ada hak memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong.

Namun penyokong perlu memahami penghakiman yang telah dibuat keseluruhan terhadap Najib.terutama keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekal sabitan itu, menunjukkan ia kes rasuah yang jelas terutama dengan fakta dan bukti yang dikemukakan.

BACA:
Pembelaan Najib ‘tak konsisten’, Nazlan tak terkhilaf

"Itu (mohon pengampunan diraja) hak masing-masing tetapi baca dulu penghakiman. (Mereka) yang marah sangat dekat hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, baca keputusannya (penghakiman). Dia tak boleh jawab penghakiman itu, jadi dia cuba serang.  

"Baca seperti mana yang disebut (dalam penghakiman) Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, kes terlalu terang.

"Baca dulu, berapa juta (diambil), masuk akaun mana, beli berlian mana. Baik kita baca dan tahu, selepas itu kita tak akanlah pertahankan (Najib)," katanya.

Panel lima hakim membacakan penghakiman setebal 15 muka surat dalam prosiding rayuan akhir dikemuka Najib Razak menyatakan Najib Razak tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) yang mensabitkan Najib dengan 7 tuduhan dihadapinya tidak terkhilaf dalam menilai semua keterangan yang dikemukakan berhubung pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.

Nazlan tegas penal itu telah membuat analisis yang terperinci terhadap semua bukti, yakni segala bukti dokumen dan lisan yang dibentangkan di hadapannya dalam tempoh kira-kira 86 hari perbicaraan.

“Dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan adalah jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan," kata Tengku Maimun.

Pada Rabu, penyokong Najib berhimpun di luar Istana Negara,  menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya selepas sehari bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara.

Anwar gesa penyokong Najib baca dulu penghakiman
Mereka mendakwa bekas pemimpin Umno itu tidak mendapat layanan adil kerana mahkamah menolak permohonannya memasukkan bukti tambahan, serta enggan menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan untuk memberi masa kepada peguam untuk bersedia.

Mereka turut menuntut campur tangan Ismail Sabri Yaakob untuk mendesak pengampunan itu. 

Mahkamah Persekutuan ketika memberi alasan menolak rayuan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti baharu berkata, ‘rungutan’ perayu sebagaimana yang terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.



Post a Comment

0 Comments