RAFIZI RAMLI menggesa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad yang didakwa memiliki perkaitan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) dipecat daripada kabinet.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu melalui satu kenyataan berkata, tindakan itu perlu diambil susulan tiada penafian atau kenyataan balas yang dilakukan oleh Abd Latif berhubung pendedahan baharu berkaitan isterinya dalam skandal itu.
"Sejak saya mendedahkan seorang yang bernama Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang dinamakan sebagai isteri Latiff di dalam laporan forensik projek LCS, sehingga sekarang Latiff tidak menafikan kenyataan itu.
"Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh.
"Penafian Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) bertujuan untuk mengelirukan orang ramai
“Dengan tiadanya penafian atau kenyataan balas menafikan yang individu yang dinamakan itu isterinya, rakyat boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya itu benar,” ujar Rafizi.
Dalam kenyataanya juga, Rafizi turut menuntut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mahiaddin Md Yassin supaya memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri bahawa parti tersebut membuat keputusan supaya Abd Latiff digantikan dengan calon lain dalam jemaah menteri.
“Ini satu ujian penting untuk menilai adakah Muhyiddin dan Bersatu benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti tulisan beliau yang mengambil kredit atas penghukuman kes SRC baru-baru ini,” tegasnya.
Pada Isnin, Rafizi mendakwa dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) dimiliki isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.
Berdasarkan semakan katanya, kedua-dua syarikat terbabit iaitu Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan, Sabah ‘digunakan’ untuk menjadi pembekal alat-alat ganti kepada projek kapal LCS.
Rafizi hari ini mempersoalkan sebanyak mana wang daripada peruntukan RM1.7 bilion untuk alat gantian kapal itu sebenarnya digunakan untuk "barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa".
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini mendedahkan kweujudan sebuah syarikat iaitu Alizes Marine Limited.
Syarikat yang didakwa ditubuhkan sebagai syarikat 'luar pesisir' itu menurutnya ditubuhkan untuk menyelewengkan dana LCS dengan mendapatkan kontrak untuk membekalkan alat ganti untuk kapal.
Dalam kenyataan hari ini, Rafizi juga membangkitkan laporan forensik projek yang mendedahkan syarikat tersebut tiada lesen untuk mengeksport alat ganti pertahanan seperti yang didakwa.Rafizi bangkit penemuan oleh audit forensik
"Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS mendedahkan: “Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, puting kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.” kata Rafizi.
0 Comments