BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah yang mendapati dia memfitnah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan 'main belakang' yang dibuatnya pada ceramah politik 14 tahun lepas.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nallini Pathmanathan hari ini membatalkan dua permohonan kebenaran rayuan yang difailkan Khairy dengan kos RM5,000 bagi setiap rayuan.
Keputusan itu dibuat selepas peguam Sarah Abishegam dari tetuan Shafee & Co yang mewakili Khairy memberitahu mahkamah bahawa mereka telah menulis surat kepada pihak Anwar untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu pada April lepas.
Terdahulu, Sarah menawarkan kos sebanyak RM1,000 untuk setiap rayuan.
Bagaimanapun Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar meminta RM10,000 kerana mereka telah memfailkan afidavit membalas permohonan Khairy.
"Usul (permohonan kebenaran merayu) yang disampaikan kepada kami mengandungi 10 jilid. Kami terpaksa menjawab perkara yang dibangkitkan dan rakan saya yang hadir bersama saya, Cik Leela juga menyediakan draf penghujahan.
“Kami juga telah hadiri dua pengurusan kes,” katanya dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian.
Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau kemudian diarah membayar kos RM10,000 kepada Anwar.
Hakim lain yang bersidang adalah Zabariah Mohd Yusof dan Rhodzariah Bujang
Pada 7 Mac 2008, Anwar, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda Umno, kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya semasa ceramah di Lembah Pantai pada 20 Feb tahun yang sama yang membawa kepada penyiaran klip video di portal berita.
Sri Ram pada perbicaraan sebelum ini berhujah bahawa Khairy memfitnah Anwar di hadapan khalayak Melayu dengan menggambarkan beliau sebagai seorang homoseksual dan rendah akhlaknya.
“Khairy berucap kepada khalayak yang memahami konteks rujukan terhadap Anwar itu,” katanya.
Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan pada September 2017 membenarkan saman Anwar terhadap Khairy dan mendapati Khairy bertanggungjawab atas fitnah dan oleh itu memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.
![]() |
KJ sebelum ini diputuskan bersalah fitnah Anwar |
Mahkamah Rayuan memutuskan kenyataan yang dipertikaikan oleh Khairy, dalam pilihan analogi dan kiasan dalam makna sejadi dan biasa, mampu memfitnah Anwar.
0 Comments