Data perangkaan buruh Malaysia sangat mengelirukan - Pakar ekonomi

 


PAKAR ekonomi terkenal Prof. Jomo Kwame Sundaram mempersoalkan dapatan data mengenai buruh dan pekerja asing di negara ini.

Dipetik laporan Malaysiakini beliau mendedahkan, Malaysia mempunyai data mengelirukan apabila berlaku perbezaan antara perangkaan Malaysia untuk buruh asing dengan anggaran syarikat telekomunikasi.

Situasi itu jelasnya telah menyebabkan berlaku kegagalan dalam memahami isu tersebut dengan serius.
 
"Mengikut anggaran syarikat telekomunikasi, terdapat kira-kira 6.7 juta (pekerja asing). Tetapi ketika itu, jika kita lihat data buruh, kita dapati jumlah tenaga buruh di Malaysia adalah 15 juta orang’ (Daripada jumlah itu) 13 juta pekerja adalah warganegara, manakala 2.2 juta lagi adalah warga asing.

“Dengan kata lain, dua pertiga pekerja asing tidak direkodkan dan dikenali,” katanya ketika menjadi ahli panel pada forum semasa Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022 di Kuala Lumpur anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Dipercayai pakar ekonomi itu merujuk kepada anggaran yang dibuat pada 2014. Menteri sumber manusia ketika itu Richard Riot dilaporkan berkata terdapat kira-kira 6.7 juta pekerja asing di negara ini, dengan lebih separuh daripada mereka tidak mempunyai permit.

Jabatan Perangkaan pada 2020, menyatakan bahawa terdapat 14.7 juta pekerja di Malaysia pada 2018, termasuk 2.18 juta pekerja asing. Jumlah pekerja asing dikatakan menurun sebanyak 2.7 peratus pada 2018 berbanding 2.24 juta pada 2017.

Dalam forum itu juga Jomo menegaskan bahawa data tersebut penting terutama dalam mengiktiraf sumbangan pekerja asing, yang menurutnya mempunyai implikasi yang besar kepada negara.

Dengan tidak mengambil kira jumlah pekerja asing tanpa izin di negara ini jelasnya, anggaran produktiviti negara akan terpesong.

"Saya fikir adalah sangat penting untuk mengiktiraf sumbangan pekerja asing kerana ia mempunyai implikasi besar. Dan kita tidak akan memahami isu ini dengan serius.

"Hakikatnya, kita mungkin boleh memahami isu ini dengan lebih baik, tetapi malangnya ini tidak dilakukan.

"Saya fikir ia sangat penting, memandangkan perangkaan rasmi kita mengecualikan pekerja asing terutamanya pekerja asing tanpa izin, kita sebenarnya mempunyai statistik buruh yang sangat mengelirukan.

Data perangkaan tak tepat terdedah putarbelit
"Perkara lain yang harus kita nyatakan, dengan mengecualikan kehadiran pekerja asing tanpa izin, dengan tidak mengambil kira peranan bukan warganegara dalam ekonomi Malaysia, anggaran produktiviti kita sangat diputarbelitkan.

“Ia langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya dipetik laporan itu.



Post a Comment

0 Comments