PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) meminta Hishammuddin Hussein memperincikan cadangan mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera seperti yang diumumkannya baru-baru ini.
Presiden Patriot, Brig-Gen (B) Arshad Raji menimbulkan persoalan berhubung penglibatan angkatan tentera dalam cadangan Hishammuddin itu yang menggambarkan seolah-olah anggota tentera akan dibebani dengan tanggungjawab tambahan menjadi pekebun sayur, di samping tugas hakiki mereka.
“Kita juga perlu bertanya sejauh mana anggota tentera negara perlu terlibat dalam kerjaya baharu ini,” katanya dalam kenyataan.
“Adakah bahagian atau platun pekebun sayur akan dibentuk di setiap kem? Adakah dana khas yang diperuntukkan oleh menteri untuk tujuan ini?” soalnya.
Hishammuddin pada Selasa berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera di seluruh negara bagi memastikan bekalan makanan terjamin.
Difahamkan Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan dipilih sebagai projek perintis.
Sementara itu, Arshad yang mengakui jaminan makanan adalah isu mendesak yang harus ditangani segera berkata, rancangan itu tidak akan berfungsi dengan baik dengan kepimpinan angkatan tentera.
“Ini kerana formasi dan unit angkatan tentera mempunyai jadual latihan tetap mereka tersendiri yang perlu dipenuhi bagi memastikan kesediaan anggota sentiasa pada tahap terbaik.
“Menjadikan askar pekebun sayur akan menghalang mereka daripada (menjalani) latihan ketenteraan yang penting,” katanya.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Suara Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi menyifatkan cadangan Hishamuddin itu sebagai tidak bijak.
![]() |
Jangan tambah beban tugas anggota tentera |
Dalam keadaan negara aman anggota keselamatan tambahnya perlu memberikan fokus kepada aspek latihan pertempuran.
“Rancangan Kementerian Pertahanan mengenai bertani ini tidak bijak. Mereka seolah-olah tidak tahu fokus yang sebenar," katanya dalam kenyataan semalam.
0 Comments